FINLAND akan menutup ruang udaranya kepada pesawat Rusia, menyertai negara Eropah lain dalam mempertingkatkan sekatan terhadap Moscow susulan pencerobohannya ke atas Ukraine, umum kerajaan pada Ahad.
Finland, yang berkongsi sempadan 1,300km dengan Rusia, sedang bersiap menutup ruang udaranya kepada trafik udara Rusia, tulis Menteri Pengangkutan Timo Harakka di Twitter semalam.
Beliau tidak menyatakan bila langkah itu akan berkuat kuasa.
Beberapa negara lain, seperti Bulgaria, Republik Czech, Estonia, Jerman dan Poland menutup ruang udara mereka untuk penerbangan Rusia, memaksa pesawat Rusia ke arah barat membuat lencongan yang besar.
Moscow, juga melarang pesawat dari negara tersebut terbang melalui wilayahnya.
Syarikat penerbangan Finland, Finnair, pakar dalam penerbangan antara Eropah dan Asia yang terbang melintasi Rusia, tetapi perkhidmatannya kini terhad kerana sekatan kemasukan ke Asia akibat pandemik koronavirus.
Finland juga dijadual meluluskan penghantaran secara konsainan bagi jaket kalis peluru, topi keledar dan hospital bergerak ke Ukraine.
Helsinki juga meluluskan penghantarankira-kira 40 senjata artileri ke Ukraine. – AFP, 27 Februari, 2022.
Komen