Sempadan Pakistan-Afghanistan dibuka semula


Orang ramai menyeberangi sempadan ke Pakistan di Spin Boldak, Afghanistan. Pakistan meningkatkan kawalan sempadan sejak Taliban menguasai negara itu pada pertengahan Ogos 2021. – Gambar EPA, 27 Februari, 2022.

SEMPADAN utama antara Pakistan dan Afghanistan dibuka semula, kata pegawai pada Ahad, beberapa hari selepas pertempuran antara pasukan keselamatan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut.

Sejak Taliban kembali berkuasa tahun lalu, ketegangan sempadan antara jiran meningkat, dengan Pakistan mendakwa kumpulan militan merancang serangan dari Afghanistan.

Taliban menafikan melindungi militan Pakistan, tetapi juga berang dengan pagar didirikan Islamabad di sepanjang sempadan 2,700km mereka, yang dibina pada zaman penjajah dan dikenali sebagai Laluan Durand.

“Sempadan sudah dibuka semula untuk semua aktiviti,” kata jurucakap pasukan sempadan separa tentera Pakistan kepada AFP.

Sumber keselamatan berkata ia berlaku selepas kejayaan rundingan antara pegawai Pakistan dan gabenor wilayah Kandahar di Afghanistan.

Mahmood Azaam, jurucakap gabenor, mengesahkan ia sudah dibuka semula.

Setiap pihak menyalahkan satu sama lain bagi pertempuran pada Khamis di persimpangan Chaman-Spin Boldak, yang dikatakan penduduk tempatan melibatkan senjata ringan dan berat.

Ribuan orang menyeberang laluan itu setiap hari, termasuk peniaga, warga Afghanistan yang mendapatkan rawatan perubatan di Pakistan, dan mereka yang melawat saudara-mara. – AFP, 27 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen