KOREA Utara menuduh Amerika Syarikat (AS) sebagai “punca utama krisis Ukraine” ketika mempertahankan Rusia, dalam respons rasmi pertama Pyongyang terhadap pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Rusia mengarahkan tentera ke negara jiran Ukraine minggu ini, mencetuskan bantahan global dan sekatan dari Barat, beberapa daripadanya ditujukan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin sendiri.
Tetapi Korea Utara, dalam respons dikeluarkan dalam bentuk ulasan oleh seorang penyelidik di North’s Society for International Politics Study, Ri Ji Song yang disiarkan di laman web Kementerian Luar, berkata AS patut dipersalahkan atas bencana yang berlaku.
Ri mengecam AS kerana sikap berat sebelah dan mencampuri hal ehwal dalaman negara lain atas nama “keamanan dan kestabilan” tetapi “mengecam tanpa sebab munasabah langkah-langkah pertahanan diri yang diambil negara lain untuk memastikan keselamatan negara mereka sendiri.”
Bersama Beijing, Rusia adalah salah satu daripada beberapa rakan antarabangsa Korea Utara dan sebelum ini membantu rejim itu.
China, sekutu terpenting Korea Utara, juga menyalahkan AS dan sekutu Baratnya dalam beberapa minggu kebelakangan ini kerana memperbesarkan krisis Ukraine.
Korea Selatan, sekutu rapat keselamatan Washington, berkata minggu lalu ia akan menyertai sekatan ekonomi antarabangsa terhadap Rusia berhubung pencerobohannya ke atas Ukraine. – AFP, 27 Februari, 2022.
Komen