Musk aktifkan perkhidmatan internet Starlink di Ukraine


Matlamat Ketua Pengarah Eksekutif SpaceX, Elon Musk mengaktifkan perkhidmatan satelitnya di Ukraine. – Gambar AFP, 27 Februari, 2022.

ELON Musk berkata semalam perkhidmatan jalur lebar satelit syarikatnya SpaceX, Starlink diaktifkan di Ukraine, selepas seorang pegawai Kyiv menggesa raksasa teknologi itu menyediakan stesen kepada negaranya yang diserang.

“Perkhidmatan Starlink kini aktif di Ukraine,” tulis Musk di Twitter, menambah “lebih banyak terminal dalam perjalanan.”

Tweet itu dibuat kira-kira 10 jam selepas Menteri Transformasi Digital Ukraine Mykhailo Fedorov menggesa Musk menyediakan perkhidmatan Starlink ke Ukraine, beberapa hari selepas ia diceroboh negara jiran Rusia.

“Semasa anda cuba menjajah Marikh – Rusia cuba menduduki Ukraine! Semasa roket anda berjaya mendarat dari angkasa - roket Rusia menyerang orang awam Ukraine! Kami meminta anda untuk menyediakan stesen Starlink kepada Ukraine,” ciapan Fedorov pada Musk.

Pemantau Internet NetBlocks berkata Ukraine menyaksikan beberapa gangguan ketara kepada perkhidmatan internet sejak Khamis, apabila Rusia melancarkan operasi ketenteraan di negara itu.

Starlink mengendalikan lebih 2,000 satelit yang bertujuan untuk menyediakan akses internet di seluruh planet ini.

Syarikat itu pada Jumaat melancarkan 50 lagi satelit Starlink dan banyak lagi dijadualkan untuk dihantar ke orbit Bumi. – AFP, 27 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen