Hartawan Jepun derma AS$8.7 juta kepada Ukraine


Pengasas gergasi e-dagang Rakuten Hiroshi "Mickey" Mikitani menyifatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah cabaran kepada demokrasi dunia. – Gambar AFP, 27 Februari, 2022.

HARTAWAN Jepun Hiroshi “Mickey” Mikitani hari ini berkata beliau akan mendermakan AS$8.7 juta kepada kerajaan Ukraine, menyifatkan pencerobohan Rusia sebagai “cabaran kepada demokrasi”.

Pengasas gergasi e-dagang Rakuten itu dalam surat ditujukan kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata derma sebanyak 1 bilion yen (AS$8.7 juta) akan disalurkan kepada “aktiviti kemanusiaan untuk membantu rakyat Ukraine yang menjadi mangsa keganasan”.

Mikitani berkata beliau melawat Kyiv pada 2019 dan bertemu Zelensky ketika itu.

“Doa saya untuk anda dan rakyat Ukraine,” katanya dalam surat itu.

“Saya percaya asakan kepada Ukraine yang aman dan demokratik oleh kuasa asing tanpa sebab adalah satu cabaran kepada demokrasi.

“Saya seikhlasnya berharap yang Rusia dan Ukraine dapat menyelesaikan isu ini denga naman dan rakyat Ukraine dapat kembali mengecapi keamanan secepat mungkin.”

Pencerobohan Rusia mencetuskan sekatan kewangan sepenuhnya dari kuasa besar demokrasi dunia, pelbagai individu dan organisasi seluruh dunia juga menyalurkan derma untuk membantu Ukraine.

Kerajaan Jepun juga mengumumkan sekatan ke atas Moscow termasuk pembekuan aset dan melarang eksport utama seperti semi konduktor kepada organisasi yang dikaitkan dengan tentera Rusia. – AFP, 27 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen