PERDANA menteri Poland semalam berkata beliau bimbang Rusia akan menyerang negaranya, Finland atau negara Baltik lain seterusnya mendesak Eropah menggandakan perbelanjaan pertahanan selepas Moscow menceroboh Ukraine.
Putin akan “mahu membangunkan dasar agresifnya, pencerobohannya”, kata Mateusz Morawiecki kepada akhbar harian Perancis Ouest-France.
“Dia mula di Georgia, sekarang Ukraine,” tambahnya. “Sasaran seterusnya boleh jadi negara Baltik, Poland, Finland atau negara lain di timur Eropah.”
Poland, bekas negara Kesatuan Soviet yang kini ahli Nato, berkongsi sempadan dengan Ukraine.
Ketika Presiden Rusia Vladimir Putin mengerahkan ketumbukan tenteranya ke sempadan negara jiran sebelum menyerang pada Khamis, Poland menempatkan jumlah tinggi tentera asing diketuai AS.
Tetapi pada Sabtu beliau berkata: “Kita perlukan tentera Eropah yang kuat”.
Benua itu perlu meningkatkan perbelanjaan pertahanan daripada sekitar 300 bilion euro kepada 600 bilion euro setahun, desaknya.
“Ia tidak mustahil dan ini akan membolehkan Eropah memainkan peranan utama,” kata Morawiecki dalam satu wawancara yang diterbitkan kumpulan media Jerman, Funke Mediengruppe.
“Era keamanan dan aturan antarabangsa sedang menuju penamatnya,” tambahnya.
“Ia adalah ujian kepada Barat dan cara kita bertindak balas kepada ujian ini akan menentukan masa depan kita, bukan untuk beberapa tahun lagi tetapi dekad-dekad akan datang.”
Ketua kerajaan Poland itu mencadangkan pengecualian perbelanjaan pertahanan daripada peraturan kewangan awam EU bagi membolehkan negaranya memperuntukkan tiga sehingga empat peratus daripada hasil negara untuk pertahanan disebabkan dasar agresif diamalkan Rusia sekarang.
Beliau turut mendesak pakej sekatan “tidak pernah dibuat dan menghancurkan” Moscow dan perbincangan diadakan supaya Eropah “bebas” daripada pergantungan kepada sumber tenaga Rusia.
“Dengan membeli minyak dan gas Rusia, kita hari ini sedang membiayai dasar luar agresif Rusia,” katanya.
Warsaw sering menjadi sasaran kritikan EU kerana melanggar kedaulatan undang-undang blok itu dan wujud kebimbangan mengenai kebebasan badan kehakimannya. – AFP, 27 Februari, 2022.
Komen