PRESIDEN China Xi Jinping menekankan kepentingan kerjasama antara Beijing dan Pyongyang dalam “situasi baharu” yang tidak diperincikan, lapor media Korea Utara pada Sabtu.
Korea Utara yang melakukan ujian senjata sebanyak tujuh kali pada Januari lalu termasuk ujian peluru berpandu paling berkuasa diciptanya sejak 2017, kini berada dalam kemelut rundingan dengan AS.
Negara itu menghentikan ujian senjata sepanjang Sukan Olimpik Beijing, dengan penganalisis berkata ia mungkin dibuat kerana hubungannya dengan China.
Beijing adalah sekutu politik dan ekonomi terpenting Pyongyang sejak menjalinkan hubungan ketika Perang Korea pada 1950an.
Dalam mesejnya kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Xi berkata Beijing bersedia “membangunkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara China dan Korea Utara” di bawah “situasi baharu”, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
KCNA bagaimanapun tidak menghuraikan perincian “situasi baharu” yang dimaksudkan.
Korea Utara dalam proses pemulihan ekonomi selepas pengurungan yang dikenakan kerana Covid-19 dan mula membuka semula sempadan dengan Beijing bulan lepas.
China membentuk lebih 90% perdagangan dengan negara dipulaukan dunia itu.
Pyongyang dikenakan pelbagai sekatan antarabangsa disebabkan ujian peluru berpandu dan nuklear yang dilakukannya.
Pakar memberi amaran yang ketika dunia sedang menumpukan perhatian kepada pencerobohan Rusia di Ukraine, Korea Utara mungkin mengambil kesempatan melakukan ujian peluru berpandu jarak jauh. – AFP, 26 Februari, 2022.
Komen