Putin, menteri luar Rusia masuk senarai hitam AS


Vladimir Putin kini menyertai Ayatollah Ali Khamenei (Iran), Nicolas Maduro (Venezuela), Kim Jong Un (Korea Utara) dan Bashar al-Assad (Syria) yang berada di dalam senarai hitam AS. – Gambar EPA, 26 Februari, 2022.

AMERIKA Syarikat semalam berkata ia akan mengenakan sekatan terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin dan Menteri Luar Sergei Lavrov, susulan pengumuman serupa dibuat Britain dan Kesatuan Eropah selepas Moscow menyerang Ukraine.

Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki berkata sekatan perjalanan adalah sebahagian daripada sekatan yang dikenakan.

Susulan tindakan itu, jurucakap Kementerian Luar Rusia Maria Zakharova menerusi televisyen berkata yang “kami sudah mencapai batas yang tidak lagi boleh berpatah balik.”

Tindakan terbaru AS itu adalah sekatan terbaru meliputi bank, import teknologi dan menyasarkan beberapa tokoh korporat Rusia.

Psaki menambah yang sekatan juga akan dikenakan ke atas Dana Pelaburan Terus Rusia, dana kekayaan kedaulatan negara itu.

Jabatan Negara AS turut mengenakan sekatan ke atas Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu dan Timbalan Menteri Pertahanan Pertama yang juga Jeneral Pasukan Ketenteraan Rusia Valery Gerasimov.

Kedua-dua mereka menyertai 11 lagi ahli Majlis Keselamatan Rusia yang sudah dikenakan sekatan oleh AS.

Di Brussels pula, sekatan terbaru EU- yang kedua dikuatkuasakan minggu ini- turut diluluskan oleh pemimpin negara dalam satu persidangan kecemasan.

Ia mengenakan sekatan ke atas sektor kewangan, tenaga, pengangkutan Rusia serta mengekang keupayaan Rusia menyimpan jumlah wang tunai yang banyak di bank seluruh Kesatuan Eropah.

Ia juga menambah jumlah individu dari Rusia yang dilarang daripada memasuki EU dan membekukan aset mereka yang didaftarkan di dalam blok ekonomi itu.

Perbendaharaan Britain turut mengumumkan sekatan kewangan ke atas Putin dan Lavrov, memasukkan mereka ke dalam senarai individu yang sudah dibekukan aset mereka di Britain.

Putin dan Lavrov kini menyertai Ayatollah Ali Khamenei (Iran), Nicolas Maduro (Venezuela), Kim Jong Un (Korea Utara) dan Bashar al-Assad (Syria) yang berada di dalam senarai hitam AS. – AFP, 26 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen