Nasib orang awam di Ukraine terjejas, kata WHO


Pencerobohan tentera Russia ke Ukraine itu meragut puluhan nyawa dan menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal. – Gambar EPA, 26 Februari, 2022.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang nasib orang awam di Ukraine susulan pencerobohan tentera Russia, kata Pengarah WHO Eropah Hans Kluge.

“Saya amat bimbang mengenai keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan orang awam di Ukraine. Saya juga bimbang perkembangan ketara yang dibuat dalam mengukuhkan sistem kesihatan di Ukraine dalam beberapa tahun kebelakangan ini boleh terjejas.

“Risiko kesihatan serta-merta berkaitan dengan kematian, kerana kami menerima laporan pertempuran dan tembakan dari seluruh negara. Hospital akan memerlukan bekalan kecemasan segera, termasuk ubat-ubatan dan kit pembedahan serta kes trauma,” katanya.

Pada masa ini, WHO sedang menyediakan kit perubatan pembedahan di Dubai untuk dihantar ke Ukraine, melalui Poland.

Presiden Russia Vladimir Putin Khamis lalu mengarahkan tenteranya untuk menyerang Ukraine.

Pencerobohan itu meragut puluhan nyawa dan menyebabkan sekurang-kurangnya 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Semalam, tentera Ukraine bertempur dengan tentera Russia di ibu kota Kyiv.

Kluge berkata WHO menggerakkan ketiga-tiga peringkat organisasinya untuk menyokong krisis kemanusiaan yang berlaku dengan cepat.

Leutamaan WHO di Ukraine beralih kepada penyediaan perkhidmatan kecemasan, penjagaan trauma, memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan, penyediaan khidmat kesihatan mental dan sokongan psikososial.

Bagaimanapun, katanya ubat-ubatan dan vaksin masih diperlukan dan WHO sedang bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan rakan kongsi lain untuk memastikan koridor kemanusiaan dapat disediakan bagi membantu menyelamatkan nyawa. – AFP, 26 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen