UKRAINE memohon sokongan tambahan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) susulan pencerobohan Russia, kata pemimpin IMF, Kristalina Georgieva.
Pemberi pinjaman krisis ada program bantuan AS$2.2 bilion (RM9.24 bilion) dengan Kyiv, dan pihak berkuasa juga meminta pembiayaan kecemasan IMF, kata Georgieva dalam satu kenyataan.
Lembaga dana itu mengadakan mesyuarat untuk membincangkan situasi di negara itu, dan ketua IMF berjanji untuk terus “menyokong Ukraine dengan apa cara yang boleh”.
Program pinjaman sedia ada dijangka tamat pada Jun, tetapi Georgieva berkata institusi itu mempunyai beberapa instrumen dalam menyediakan bantuan.
Georgieva mengulangi amarannya mengenai krisis di Ukraine, menyifatkannya sebagai “membimbangkan” berikutan jumlah korban nyawa dan kesan lebih luas terhadap pemulihan global.
“Konflik itu juga mempunyai kesan ekonomi serius, yang akan bertambah buruk apabila ia berterusan.
“Krisis ini datang pada masa yang sukar, apabila ekonomi global dalam fasa pemulihan daripada kemusnahan akibat pandemik Covid-19 dan ia mengancam beberapa kemajuan.”
IMF dan beberapa pihak memberi amaran mengenai kesan kenaikan harga minyak dan makanan kepada negara yang sudah pun menghadapi inflasi yang semakin melonjak.
Georgieva berkata pihaknya sedang menyelaraskan dengan Bank Dunia untuk membantu Ukraine dan Presiden Bank Dunia David Malpass pada Khamis berkata bank itu bersedia untuk memberikan “sokongan segera” kepada negara itu. – AFP, 26 Februari, 2022.
Komen