AGENSI kesihatan utama Amerika Syarikat (AS) menyemak garis panduan pemakaian pelitup muka bagi menghentikan penularan Covid-19.
Keadaan itu sekali gus menyaksikan kebanyakan penduduk tidak lagi dinasihatkan memakainya di tempat awam tertutup, termasuk kanak-kanak sekolah.
“Kami berada di kedudukan lebih kukuh hari ini sebagai sebuah negara yang mempunyai lebih banyak elemen untuk melindungi diri dan komuniti daripada Covid-19,” kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Rochelle Walensky kepada wartawan.
Mengikut garis panduan semasa ia disandarkan kepada kadar kes.
Metrik baharu juga termasuk kemasukan ke hospital akibat Covid-19 dan kapasiti hospital tempatan, untuk mencipta ukuran baharu dikenali sebagai “peringkat komuniti Covid-19”.
Orang ramai boleh merujuk laman web CDC sama ada kawasan mereka hijau, kuning atau oren pada peta negara.
Lebih 70% penduduk tinggal di kawasan yang tidak dinasihatkan memakai pelitup muka mengikut rangka kerja baharu, termasuk sekolah di kawasan hijau atau kuning.
Garis panduan yang disemak bagaimanapun tidak digunakan untuk sistem pengangkutan. Peraturan persekutuan mengenainya akan disemak pada pertengahan Mac apabila ia ditetapkan untuk tamat tempoh.
AS keluar daripada gelombang Covid-19 terbaharunya, didorong varian Omicron, yang walaupun sangat mudah berjangkit tetapi kurang teruk dalam kalangan orang yang divaksin atau mempunyai jangkitan sebelumnya. – AFP, 26 Februari, 2022.
Komen