MAYAT seorang lelaki berpakaian awam terbaring di kaki lima di kawasan kejiranan di utara Kyiv pada Jumaat ketika askar Ukraine mengambil pelindungan di sebuah bangunan dua tingkat.
Tidak jauh dari situ, pegawai perubatan bergegas membantu seorang lagi lelaki, yang memandu kereta awam yang remuk sepenuhnya di bawah bekas laluan kenderaan berperisai.
Sekumpulan tentera Rusia meninggalkan kesan kemusnahan susulan pertempuran yang meletus di Kyiv, ibu kota Ukraine buat kali pertama, di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat bandar itu akan diserang atau dikepung.
Orang awam dilihat bertempiaran lari menyelamatkan diri ketika tembakan senjata dan letupan meletus di daerah Obolonsky di utara bandar itu.
Letupan yang lebih kuat boleh didengari di pusat bandar, di mana penduduk mengalami malam yang tegang di bawah perintah berkurung dan bunyi bom.
Saksi berkata mereka melihat mayat yang kelihatan seperti dua tentera Rusia mati berhampiran trak itu, namun tentera Ukraine, yang memeriksa kenderaan remuk itu tidak membenarkan AFP mendekati.
“Dua kenderaan tempur infantri dengan tanda pengenalan tersembunyi melalui jalan itu. Saya tidak nampak lencana unit,” kata orang awam Yevgen Nalutay, 39.
“Seorang bersembunyi betul-betul di laluan bawah dan seorang lagi pergi lebih jauh di sepanjang jalan, tetapi kemudian membelok ke halaman rumah dan saya tidak nampak dia lagi. Orang ramai bertempiaran lari.”

Penduduk Viktor Berbash, 58, memberitahu AFP dia berlari keluar ke balkoninya selepas mendengar tembakan pada pagi Jumaat.
“Saya nampak sebuah kenderaan berperisai dan ada tembakan. Di sini kereta ini, yang mungkin dengan senapang antipesawat di atasnya, sudah ada di sini.”
Dia melihat orang awam di dalam kereta digilis kereta kebal yang menurutnya merupakan tindakan yang disengajakan, namun tidak pasti sama ada pemandu itu terselamat atau tidak.
“Dua kenderaan berperisai memandu di sepanjang jalan, dan yang kedua sengaja memandu ke arah bertentangan.
“Itu bukan kebetulan, itu untuk seronok, tidak ada keperluan untuk ini. Ia cuma langgar kereta, berhenti, berundur untuk langgarnya lagi dan terus memandu pergi.”
Kementerian pertahanan Ukraine berkata, pertembungan itu dicetuskan oleh “sabotaj dan pengintip musuh”.
Tentera Rusia mula tiba di pinggir Kyiv pada Khamis dengan helikopter menyerang lapangan terbang Gostomel di luar bandar itu, berhampiran Obolonsky.
Tentera Ukraine mendakwa ia telah menangkis serangan di pangkalan udara itu, namun tentera darat Rusia juga didapati telah mara ke arah tebing barat sungai Dnieper dari Belarus.

Kementerian Pertahanan menyeru orang awam untuk melawan ketika kumpulan pengintip dan peninjau tiba di Obolonsky.
“Kami gesa rakyat maklumkan kami tentang pergerakan tentera, baling koktel Molotov, dan neutralkan musuh,” katanya dalam satu siaran dalam talian.
Pertempuran di lebuh raya dan di antara blok pangsapuri bertingkat yang padat di utara Kyiv mungkin merupakan petanda apa yang akan berlaku jika tentera Rusia menyerang bandar yang dihuni kira-kira tiga juta orang itu.
Presiden Vladimir Putin kelihatan berniat untuk menggulingkan kerajaan Ukraine, dan perisikan Barat menjangkakan tenteranya akan menawan Kyiv dalam beberapa jam atau beberapa hari lagi.
Peluru berpandu balistik dilepaskan ke sasaran di dalam Kyiv dalam apa yang Washington gelar sebagai operasi Rusia untuk “memenggal kepala” pentadbiran Presiden Volodymyr Zelensky. – 25 Februari, 2022.
Komen