Lebih banyak sekatan dikenakan terhadap Russia, kata AS


Penunjuk perasaan berkumpul membantah pencerobohan Russia terhadap Ukraine, di Dataran Andrei Sakharov di California semalam. – Gambar EPA, 25 Februari, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan lebih banyak sekatan terhadap Russia susulan pencerobohan Ukraine, tetapi mengakui kekurangan perpaduan dalam kalangan negara Barat untuk melaksanakan tindakan lebih tegas.

Dalam ucapannya di White House, Biden berkata empat bank utama akan dikenakan sekatan oleh kuasa Barat dan kawalan eksport komponen sensitif bakal menjejaskan lebih separuh import berteknologi tinggi Russia.

“Langkah ini akan menjejaskan ekonomi Russia serta-merta dan dari semasa ke semasa.

“Langkah ini juga di samping tindakan lain yang diumumkan minggu lalu, akan menjadikan Putin ‘buruk’ di pentas antarabangsa.

“Mana-mana negara yang menyokong tindakan agresif Russia terhadap Ukraine, akan dikenakan tindakan,” katanya.

Biden bagaimanapun berkata tiada tindakan sekatan secara langsung terhadap Putin yang dilaporkan mengumpul kekayaan secara rahsia sejak dua dekad lalu.

Beliau berkata perbincangan untuk menyekat Russia daripada sistem pembayaran antarabangsa (SWIFT) yang berupaya melumpuhkan sektor perbankannya, tidak akan dilakukan.

“Ia sentiasa menjadi pilihan tetapi buat masa ini langkah itu bukan kedudukan yang ingin diambil oleh semua negara Eropah,” katanya.

Ukraine sebelum ini merayu Russia disekat daripada sistem SWIFT, tetapi Biden mendedahkan pakatan Barat gagal mencapai persetujuan berhubung perkara berkenaan. – AFP, 25 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen