Kritikan Perancis tentang operasi di Syria ‘tak berasas,’ kata Turki


Rakyat membawa bunting ketika tunjuk perasaan terhadap operasi ketenteraan Turki di Afrin, sempadan Syria. Operasi itu bertujuan untuk mengundurkan militan Kurdish dari sempadan Turki-Syria. – AFP, 8 Februari, 2018.

TURKI hari ini menyangkal dakwaan Perancis yang terdapat kematian orang awam dalam operasi Ankara di Syria dengan menuduh kenyataan Perancis itu sebagai “tidak berasas” dan “tidak sesuai.”

Jurucakap Kementerian Luar Turki Hami Aksoy berkata dalam satu kenyataan yang “ia kesal dengan komen tak berasas dan tidak bersesuaian oleh menteri luar Perancis berhubung Operasi Olive Branch.

Pada 20 Januari lalu, Turki melancarkan serangan terhadap militan Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG) di kubu mereka di Afrin, Syria.

Pada Rabu, Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian memberi amaran adanya kematian orang awam dalam operasi serangan itu.

“Apa yang kami dapat hadam ialah Turki mahu memastikan keselamatan sempadannya, yang merupakan haknya. Namun, untuk memastikan keselamatan sempadannya bukannya dengan membunuh orang awam,” katanya.

Menurut Syrian Observatory for Human Rights, setakat ini 68 orang awam telah terbunuh dalam operasi serangan itu.

Turki bagaimanapun berkeras menolak adanya kemusnahan dan kerugian awam, selain menambah yang tenteranya mementingkan keselamatan orang awam di kawasan Afrin.

“Setakat ini belum ada kerugian awam dalam operasi ini,” kata Aksoy.

“Berlawanan dengan dakwaan Perancis, operasi berterusan Turki bertujuan untuk menghalang perang lain berlaku di Syria. Kami jangka sekutu kami dapat memahami realiti ini,” tambahnya.

Pada Sabtu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memberitahu rakan sejawatnya Presiden Perancis Emmanuel Macron bahawa operasi Afrin itu ditujukan kepada “unsur pengganas” selain menegaskan yang Ankara tidak berminat dengan kawasan milik Syria.

Minggu lalu, dalam wawancaranya Macron berkata yang Perancis “tidak ada masalah” dengan kempen Turki itu jika ianya bertukar menjadi “operasi (untuk) menakluk.”

Bagaimanapun, Aksoy membalas dengan mengulangi kenyataan Erdogan yang “Turki tidak berminat dengan kawasan milik Syria.” – AFP, 8 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen