PAS takkan tinggal Bersatu demi hargai jasa, kata Tuan Ibrahim


Diyana Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata negara akan terus ditadbir bawah pengaruh DAP jika tidak kerana Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH). – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2022.

PAS tidak akan meninggalkan Bersatu kerana menghargai jasa yang menjadikan parti Islam itu sebahagian dalam kerajaan hari ini, kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata negara akan terus ditadbir bawah pengaruh DAP jika tidak kerana Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH).

“Bagi PAS kita ada dalam kerajaan kerana Bersatu kerana kalau Bersatu tak keluar PH, maka PH akan kekal memerintah.

“Semuanya kerana sumbangan besar dari Bersatu keluar PH dan bentuk muafakat bersama takkan kita nak buang dia (Bersatu).

“Ia tidak betul itu kerana ini hubungan setiakawan kita kena pelihara aspek ini,” katanya dalam satu ceramah PAS di Hulu Terengganu malam tadi.

Jelasnya, tindakan PAS memelihara hubungan dengan Bersatu tidak bermaksud PAS tidak mempertahankan hubungannya dengan Umno.

Tambahnya, PAS sentiasa cuba menjadi pendamai konflik di antara kedua-dua parti namun banyak provokasi yang dilakukan Umno menyukarkan usaha tersebut.

Provokasi itu antaranya ketika Umno memutuskan untuk bertembung dengan PAS dengan bertanding semua kerusi negeri Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Keputusan itu dibuat oleh Umno hanya beberapa hari selepas parti itu mengadakan pertemuan dengan PAS, katanya.

Mengulas sikap itu, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak mempunyai masalah jika Umno mahu berlawan dengan parti tersebut.

“Bagi kita kalau nak lawan tak apa sebab kita dah biasa lawan. Yang payahnya nak menjadi kawan. Tapi berlawan ini insya Allah (tidak sukar).

“Tapi bagi kita apa tujuan kita nak berlawan cuma Umno sering kali membuat keputusan seperti di Kelantan nak adakan pertembungan dengan PAS,” katanya.

Tambahnya lagi, PAS lebih gemar kepada kerjasama di seluruh negara dan bukannya di kawasan tertentu sahaja.

“Saingan PAS di Pantai Timur ini bukan PH tapi rakan kita sendiri, Umno.

“Walhal sebelum ini kita ada pertemuan rundingan dengan Umno dan selepas itu mereka isytihar nak bertembung dengan PAS di semua kerusi DUN Kelantan.

“Tapi kita bersedia kerana bagi kita kalau nak berpakat biar berpakat seluruh negara kita tak boleh berpakat hanya tempat tertentu sahaja,” katanya.

Hubungan Umno dengan PAS kembali dingin apabila parti Melayu itu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Namun pada masa sama, Umno masih kekal dalam petadbiran kerajaan persekutuan dengan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

PAS dan Umno membentuk kerjasama lebih awal melalui MN selepas pada September 2019, ekoran kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14.

Parti Islam itu kemudian berjaya menyertai kerajaan baharu dengan menyertai gabungan Perikatan Nasional yang ditunjangi Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin pada tahun lalu. – 25 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen