PRESIDEN Ukraine berkata negaranya ditinggalkan sendirian dalam melawan Russia selepas Kremlin melancarkan serangan besar-besaran yang menyebabkan 137 rakyat Ukraine terbunuh pada hari pertama pencerobohan.
“Kita ditinggalkan sendirian untuk mempertahankan negara,” kata Volodymyr Zelensky dalam ucapan video kepada rakyatnya selepas tengah malam.
“Siapa yang bersedia untuk berjuang bersama kita? Saya tidak nampak sesiapa. Siapa yang bersedia untuk memberi Ukraine jaminan keahlian Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara)? Semua orang takut,” katanya.
Zelensky berkata 137 warga Ukraine membabitkan anggota tentera dan orang awam terkorban sejak permulaan serangan awal Khamis, manakala 316 lagi cedera.
Beliau berkata “kumpulan sabotaj” Russia memasuki ibu kota Kyiv dan menggesa warga kota itu untuk terus berwaspada dan mematuhi perintah berkurung.
Mengulas lanjut, Zelensky berkata beliau dan keluarganya akan kekal di Ukraine walaupun Russia mengenal pasti beliau sebagai sasaran nombor satu.
“Mereka mahu memusnahkan Ukraine secara politik dengan menjatuhkan ketua negara,” kata Zelensky. – AFP, 25 Februari, 2022.
Komen