POLAND semalam berkata akan membuka sembilan pusat penerimaan pelarian Ukraine di sepanjang sempadannya selepas Rusia menyerang negara berkenaan.
Kebimbangan semakin memuncak mengenai krisis pelarian di rantau itu selepas Rusia menyerang Ukraine semalam dengan pertempuran berterusan sepanjang hari dan menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh.
“Sudah tentu akan ada gelombang pelarian yang tiba di negara kita,” kata Menteri Dalam Negeri Poland Mariusz Kaminski kepada wartawan semalam.
Beliau menambah Poland akan menerima seberapa ramai pelarian yang tiba di sempadan mereka.
Negara itu menubuhkan sembilan pusat penerimaan berhampiran sempadan sepanjang 535 kilometer.
Pusat itu akan menawarkan makanan ketibaan dan rawatan perubatan serta tempat untuk berehat dan menerima maklumat.
Ketua pengawal sempadan Poland Tomasz Praga semalam berkata terdapat peningkatan dalam bilangan mereka yang menyeberangi sempadan Poland-Ukraine di kedua-dua arah tetapi keadaan stabil.
Kira-kira 29,000 rakyat Ukraine menyeberangi sempadan di kedua-dua arah dalam tempoh 24 jam yang lalu termasuk 15,000 datang ke Poland, kata Praga semalam.
Di persimpangan sempadan Dorohusk di timur Poland wartawan AFP melihat kereta dengan bendera Ukraine di papan pemuka memasuki negara EU.
Di sebuah kedai kecil ada penduduk yang membawa beg plastik berdiri menunggu pengangkutan pulang ke Ukraine berkata mereka mahu kembali untuk menyara keluarga.
PBB memberi amaran semalam bahawa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine akan membawa akibat kemanusiaan yang menghancurkan dan menggesa negara jiran memastikan sempadan dibuka kepada mereka yang melarikan diri dari keganasan.
“Kami amat prihatin dengan keadaan yang semakin merosot dan tindakan ketenteraan yang berterusan di Ukraine,” kata ketuga agensi pelarian PBB Filippo Grandi. – AFP, 25 Februari, 2022.
Komen