Rusia larang rakyat sertai protes antiperang


Penunjuk perasaan antiperang mengangkat sepanduk "Hentikan Perang" berlatarkan bendera Ukraine di tengah kota Berlin, Jerman bagi menentang pencerobohan Moscow ke atas Kyiv. – Gambar EPA, 24 Februari, 2022.

PIHAK berkuasa Rusia pada Khamis memberi amaran kepada penyokong antiperang daripada berkumpul untuk protes selepas Presiden Vladimir Putin melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Jawatankuasa Penyiasatan, sebuah badan kerajaan yang menyiasat jenayah besar, memberi amaran kepada rakyat Rusia tentang kesan undang-undang jika menyertai protes haram berkaitan “keadaan politik asing yang tegang”.

Ia berkata demikian sebagau menjawab seruan di media sosial untuk membantah keputusan Putin menyerang Ukraine.

“Seseorang harus sedar kesan undang-undang daripada tindakan ini dalam bentuk pendakwaan sehingga liabiliti jenayah,” katanya.

Kementerian dalam negeri Rusia berkata ia akan mengambil “semua langkah yang perlu bagi memastikan ketenteraman awam.”

Rusia mempunyai undang-undang protes yang ketat dan demonstrasi sering berakhir dengan penahanan besar-besaran.

Beberapa orang Rusia menggesa di media sosial supaya turun ke jalanan bagi membantah serangan Ukraine.

Pemantau hak bebas, OVD-info, berkata sekurang-kurangnya 27 orang telah ditangkap di seluruh Rusia kerana mengadakan protes antiperang.

Ketua pembangkang Rusia yang dipenjarakan Alexei Navalny berkata pada Khamis beliau menentang pencerobohan itu dalam ucapan semasa perbicaraannya.

“Saya menentang perang ini,” Navalny kedengaran berkata dalam video yang diterbitkan oleh media bebas Dozhd.

“Perang antara Rusia dan Ukraine ini dicetuskan untuk menutup kecurian daripada warga Rusia dan mengalihkan perhatian mereka daripada masalah yang wujud di dalam negara,” kata Navalny.

Putin melancarkan serangan ke atas Ukraine pada awal pagi Khamis selepas ucapan kebangsaan disiarkan sekitar pukul 5.40 pagi waktu tempatan. – AFP, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen