Transaksi tanah Jalan Semarak berlaku di bawah kepimpinan Shahrir, kata Rafizi


AHLI Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini mendakwa transaksi melibatkan dua bidang tanah di Jalan Semarak berlaku tahun lepas di bawah kepimpinan presiden Felda sekarang, Shahrir Samad.

Pemindahan hak milik untuk bahagian tanah terbesar antara 16 bidang tanah itu iaitu Lot 29788 berukuran 25,058 kaki persegi didaftarkan pada 6 Mac tahun lepas.

Sementara itu, pemindahan untuk Lot 43 Seksyen 87A yang berukuran 107 kaki persegi didaftarkan pada 14 April tahun lepas.

Shahrir mula mengambil alih jawatan pengerusi Felda daripada Isa Samad pada Januari tahun lepas.

“Shahrir tahu mengenainya tetapi dia tak cakap apa-apa.

“Mengapa nampaknya yang dia seperti cuci tangan…seolah-olah semuanya berlaku ketika pentadbiran pengerusi sebelum ini?

“Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu tanya dia, seperti mana mereka siasat Isa,” katanya pada sidang media di Sungai Besi tengahari tadi yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebooknya.

Rafizi yang juga naib presiden PKR menimbulkan persoalan mengenai pemilikan 16 bidang tanah yang dilaporkan mencecah nilai RM200 juta.

Tanah itu sebelum ini dipindahkan kepada syarikat pembangunan Synergy Promenade Sdn Bhd (15) dan Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (1).

Pada 15 Januari lalu, Shahrir mengesahkan Felda sudah menerima kembali hak milik 16 bidang tanah itu.

Hari ini Rafizi menunjukkan geran tanah untuk setiap lot, mendedahkan tarikh hartanah itu dipindah milik dan nama dua syarikat itu yang masih didaftarkan sebagai pemilik semua bidang tanah itu.

Rafizi yang juga seorang juruaudit bertauliah mengatakan salinan geran itu adalah salinan terbaru kerana beliau memperolehinya daripada pihak berkuasa dengan bayaran RM30 untuk setiap geran bulan lepas.

Beliau juga membandingkan laporan berita pelbagai akhbar yang memetik Shahrir tentang perkara itu bagi memastikan beliau tidak tersilap faham.

“Shahrir perlu menjelaskan mengapa pemilikan semua tanah ini masih belum dipindahkan balik ke Felda. Apa maksudnya apabila dia beritahu sidang media pada 15 Januari yang tanah itu sudah diperolehi kembali?

“Mungkin dia akan kata maksudnya lain. Dia perlu jelaskan. Tetapi rakyat tahu ia (pemindahan hak milik tanah) selalunya mengambil masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun untuk orang biasa untuk pindah hak milik tanah.

“Jika sudah dipersetujui yang semua lot itu sudah dikembalikan kepada Felda, pemaju perlu membuat permohonan di pejabat tanah. Bagaimana dengan duti setem, yang sepatutnya cecah RM8 juta untuk semua lot itu?” katanya.

Rafizi juga meminta Shahrir menjelaskan rancangan Synergy Promenade untuk membina menara komersial dan projek hartanah mewah di lima bidang tanah yang sepatutnya hanya untuk kegunaan pejabat Felda.

Katanya, itu adalah soalannya kepada Shahrir buat masa sekarang.

Dakwanya, semua ini adalah sandiwara untuk menggambarkan pengurusan sekarang di bawah kepimpinan Shahrir bekerja keras menyelamatkan Felda dan tidak terlibat dalam urus niaga yang tidak memberi manfaat kepada peneroka.

“Ia untuk menyakinkan peneroka dan orang Melayu semua isu yang saya bangkitkan dan isu lain yang dibangkitkan rakan Pakatan Harapan adalah tidak benar.

“Jika saya tak dapat salinan geran tanah itu, peneroka akan tidur nyenyak percaya yang tanah itu sudah dikembalikan kepada Felda,” katanya.

Rafizi berkata beliau akan terus menunggu Shahrir menjawab soalan yang dibangkitkan. Beliau juga mengalu-alukan Felda menghantar pengarah atau pegawai mereka untuk menjawab isu itu.

The Malaysian Insight menghantar mesej WhatsApp kepada Shahrir meminta ulasannya mengenai dakwaan terbaru Rafizi itu.

Balasan Shahrir: “noted”. – 8 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • yeke ni rafizi? kang kalau buat cerita tak betul nanti kena tambah hukuman penjara tu kang.. hehehe saya tahu anda tak takut kena penjara.. mesti dah dengar cerita best dari bang anwar pasal penjara kan? sebab tu releks je kalau kena penjara sekalipun..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan