EU minta Belarus tidak ambil bahagian serangan Rusia ke atas Ukraine


Pemimpin Kesatuan Eropah Charles Michel menggesa Belarus supaya tidak ambil bahagian dalam serangan Rusia ke atas Ukraine, berkata negara itu ada pilihan untuk tidak ikut arahan Moscow. – Gambar EPA, 24 Februari, 2022.

PEMIMPIN Kesatuan Eropah (EU) Charles Michel pada Khamis menggesa Belarus untuk “tidak mengambil bahagian” dalam serangan tentera Rusia ke atas Ukraine. 

Gesaannya itu dibuat menjelang sidang kemuncak tergempar EU bagi memutuskan sekatan baharu ke atas Moscow.

Dalam rayuan kepada Belarus dan rakyatnya semasa sidang media di ibu pejabat Nato, Michel berkata: “Anda ada pilihan untuk tidak ikut tindakan Rusia. Anda ada pilihan untuk tidak ambil bahagian dalam tragedi sia-sia ini terhadap jiran anda di Ukraine.”

Belarus, sekutu Rusia dan jiran Ukraine, telah mengalu-alukan puluhan ribu tentera Rusia di wilayahnya susulan protes besar-besaran prodemokrasi yang tercetus pada 2020 selepas pemimpin autokratik Alexander Lukashenko mendakwa kemenangan dalam pilihan raya.

Belarus membenarkan tentera itu melintasi sempadannya ke Ukraine dan menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang tentera Ukraine dengan artileri, menurut kerajaan Ukraine.

Lukashenko pada Khamis berkata Presiden Rusia Vladimir Putin telah menghubunginya untuk memaklumkan kepadanya tentang operasi ketenteraannya terhadap Ukraine. Beliau berkata pasukan kebangsaan Belarus sendiri “tidak mengambil bahagian dalam operasi ini”. – AFP, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen