Sweden, Finland tegas tidak sertai Nato


Anggota tentera Ukraine bersiap sedia untuk menangkis serangan di wilayah Lugansk Ukraine berikutan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Khamis, membunuh berpuluh-puluh dan memaksa ratusan melarikan diri untuk nyawa mereka di negara jiran yang pro-Barat. – Gambar AFP, 24 Februari, 2022.

SWEDEN dan Finland kekal untuk tidak sertai Nato walaupun dikejutkan dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kata pemimpin kedua-dua negara pada Khamis.

Selepas operasi ketenteraan Moscow di Kyiv diumumkan Presiden Rusia Vladimir Putin, “kita telah memasuki babak baru dan gelap dalam sejarah Eropah,” kata Perdana Menteri Sweden Magdalena Andersson.

Beliau mengutuk “pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa dan terhadap perintah keselamatan Eropah”.

Walaupun terdapat perdebatan mengenai keanggotaan Nato yang telah dihidupkan semula oleh ketegangan Ukraine, pemimpin Sosial Demokrat itu berkata kedudukan Sweden untuk tidak menyertai pakatan pertahanan itu kekal pada tempatnya.

“Dalam situasi seperti ini adalah penting bahawa dasar keselamatan Sweden yang telah lama wujud kekal teguh. Bahawa kita boleh diramal dan jelas,” kata Andersson.

“Sweden telah bebas daripada pakatan untuk masa yang sangat lama. Ia telah berkhidmat beri kepentingan buat Sweden dengan baik,” tambahnya.

Terdahulu di negara jiran Finland, kerajaannya turut menolak langkah segera menjadi ahli Nato.

“Kami ada dasar keselamatan yang direka untuk bertahan ketika krisis. Kami akan gunakan cara yang ada, termasuk kerjasama dengan rakan kongsi Nato,” kata Menteri Luar Pekka Haavisto.

“Selepas krisis, kita akan lihat tindakan selanjutnya yang diperlukan,” kata menteri itu.

Presiden Finland Sauli Niinisto berkata “walaupun amaran awal, pagi ini telah mengejutkan kita semua”.

Tidak seperti Sweden, Finland telah menerima pakai peruntukan yang dipanggil “pilihan Nato”, yang bermaksud “jika keselamatan Finland memerlukannya, Finland ada peluang untuk mohon keahlian”, kata Perdana Menteri Sanna Marin.

Keahlian penuh adalah perdebatan berterusan yang telah dihidupkan semula sejak beberapa minggu kebelakangan ini di Finland, dan tindakan Rusia mungkin akan mendorong perdebatan yang lebih luas, kata Marin.

“Bagaimanapun, ini adalah perbahasan yang memerlukan konsensus Parlimen yang luas,” kata Marin.

Anggota Nato Norway mengecam “pelanggaran serius undang-undang antarabangsa” dan mengumumkan pemindahan “sementara” kedutaannya dari Kyiv ke Lviv, di barat Ukraine.

“Serangan itu adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa dan meletakkan nyawa orang yang tidak bersalah dalam bahaya,” kata Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store di Twitter. – AFP, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen