SINGAPURA mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk pencerobohan tanpa provokasi ke atas negara berdaulat atas apa jua alasan, menurut kenyataan Kementerian Luar berhubung situasi terkini di Ukraine.
“Singapura khuatir dengan pengumuman Rusia berhubung ‘operasi ketenteraan khas’ di wilayah Donbas; dan laporan mengenai serangan darat dan udara di Ukraine pada 24 Feb,” kata jurucakap kementerian itu di Singapura hari ini.
Republik itu mengulangi bahawa kedaulatan, kemerdekaan, dan integriti wilayah Ukraine harus dihormati.
“Kami berharap tindakan ketenteraan dihentikan serta-merta; dan menggesa penyelesaian secara aman, berlandaskan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa,” tambah jurucakap itu. – Bernama, 24 Februari, 2022.
Komen