MALAYSIA dan Kemboja berpandangan isu Ukraine dan Rusia perlukan dialog untuk mencari penyelesaian damai bagi kedua-dua negara berjiran itu, kata Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techno Hun Sen.
“Walaupun kita jauh dan kita negara kecil, tetapi isu antarabangsa seperti ini sangat penting. Pemimpin sentiasa mempunyai perbincangan satu sama lain.
“Saya dan juga Perdana Menteri Malaysia (Ismail Sabri Yaakob) juga membincangkan isu ini apa yang kita ingin lihat adalah penyelesaian damai,” katanya pada sidang media bersama Ismail Sabri sempena lawatan perdana menteri Malaysia itu ke negara berkenaan.
Hun Sen berkata demikian apabila ditanya sama ada mereka berbincang mengenai isu Ukraine dan Rusia semasa pertemuan empat mata di Phnom Penh hari ini.
Ditanya pendapat Kemboja selaku pengerusi Asean berkenaan isu Ukraine dan Rusia, Hun Sen berkata Asean belum ada konsensus mengenai perkara berkenaan.
“Saya dan Perdana Menteri Malaysia berpendapat Asean memerlukan satu suara (supaya suara itu) menjadi kuat. Oleh itu sebarang kenyataan perlu mendapat konsensus Asean termasuk dalam isu Ukraine,” katanya.
Menurut laporan media antarabangsa, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada Khamis mengisytihar darurat di seluruh negara ketika tentera Rusia memasuki sempadannya dan menyerang sasaran di Kyiv, dengan letupan kedengaran di banyak bandar Ukraine. – Bernama, 24 Februari, 2022.
Komen