CHINA mendakwa operasi ketenteraan Moscow di Kyiv tidak boleh disifatkan sebagai pencerobohan, menggesa semua pihak bertenang selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan serangan ke atas Ukraine.
Awal hari ini, Putin mengumumkan serangan tentera utama dan tentera darat ke negara itu dari beberapa arah, diikuti beberapa siri letupan di ibu negara Ukraine, Kyiv.
“China memerhati dengan teliti situasi terkini, dan kami menyeru semua pihak untuk kekal menahan diri dan mencegah keadaan daripada menjadi tidak terkawal,” kata jurucakap kementerian luar negara Hua Chunying pada sidang media di mana beliau berulang kali ditanya sama ada Beijing mengecam tindakan itu.
Beijing telah mengambil langkah berhati-hati di Ukraine ketika Moscow mengumpulkan beribu-ribu tentera di sempadan, malah mengkritik Barat atas sekatan baharu selepas Rusia mengarahkan tentera ke dua wilayah Ukraine yang berpisah yang kini diiktiraf sebagai merdeka.
Hua pada Khamis enggan menggelar tindakan ketenteraan itu sebagai “pencerobohan”, melabelkan istilah itu “berprasangka”, dan mengelak soalan sama ada China berhubung dengan pemimpin Rusia dan Ukraine.
“Isu Ukraine ada latar belakang sejarah yang sangat rumit” dan merupakan hasil daripada “pelbagai faktor,” kata Hua kepada pemberita.
China menyalahkan Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya sejak beberapa minggu kebelakangan ini kerana “menyebarkan” krisis, dengan Hua berkata pada taklimat awal pada Rabu yang AS “menambah api kepada api.”
Kedutaan China di Ukraine pada Khamis memberi amaran kepada rakyatnya supaya berwaspada terhadap “gangguan teruk” dan tinggal di rumah. – AFP, 24 Februari, 2022.
Komen