6 terbunuh serangan Israel di Syria


Enam pejuang pro-Presiden Syria Bashar al-Assad termasuk tentera terbunuh akibat serangan rejim Israel berhampiran ibu negara Damsyik, menurut pemantau perang berpangkalan di Britain. – Gambar AFP, 24 Februari, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA enam pejuang prokerajaan termasuk tentera Syria terbunuh dalam serangan udara Israel pada Khamis menyasarkan kedudukan kumpulan yang disokong Iran berhampiran ibu negara Damsyik, lapor pemantau perang.

“Serangan Israel membunuh enam orang, termasuk dua tentera Syria dan empat militia yang disokong Iran yang kerakyatannya masih tidak diketahui,” kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Pemantau yang berpangkalan di Britain itu, yang mempunyai rangkaian sumber yang luas di seluruh negara, berkata serbuan itu “menyasarkan kedudukan dan depoh senjata” dikendalikan oleh kumpulan yang disokong Iran berhampiran lapangan terbang Damsyik, memusnahkan beberapa tempat simpanan senjata.

Serangan itu juga menyasarkan pertahanan udara di selatan Damsyik, kata pemantau itu, yang tidak menjelaskan sebarang kerosakan.

Media kerajaan Syria berkata, serangan itu berlaku sekitar pukul 1.10 pagi waktu tempatan.

Agensi berita rasmi SANA berkata, pertahanan udara memintas kebanyakan peluru berpandu namun tiga askar terbunuh.

Serbuan terbaharu itu susulan pengeboman Israel minggu ini ke atas sebuah bandar Syria berhampiran garis gencatan senjata di Bukit Golan, dan serangan ke atas pos tentera Syria pada 17 Februari, dan pada bateri anti-pesawat awal bulan.

Pemantau berkata Israel telah melakukan serbuan di Syria sekurang-kurangnya enam kali sejak awal tahun.

Ditanya mengenai serangan terbaharu, seorang jurucakap tentera Israel berkata: “Kami tidak ulas laporan media asing”. – AFP, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen