-2.jpg)
DI negara kita, malangnya, hampir semua isu hendak dipolitikkan. Dalam pada itu, jaguh isu itu akan muncul dan persoalan yang rumit dirumitkan lagi demi kepentingan kelompok dan peribadi.
Isu berhubung Puan Loh Siew Hong dan tiga anaknya yang telah diislamkan secara sebelah pihak (ex-parte) oleh bekas suaminya merupakan contoh terbaharu.
Saya baru-baru ini menerima klip video yang diberi tajuk “Ada Juga Pemimpin Amanah Menyokong Budak-Budak Ini Murtad” dengan gambar Faiz Fadzil dan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Maza) di paparan luarnya.
Video ini mengandungi ucapan Dr Maza berkaitan isu pengislaman dan hak penjagaan 3 anak seorang ibu tunggal yang menjadi polemik sejak kebelakangan ini.
Dalam video itu, Dr Maza mendakwa ada di kalangan orang Islam bersekongkol untuk membenarkan kanak-kanak itu dimurtadkan. Dr Maza mendakwa mereka bersikap “tak apa kalau budak-budak ini dimurtadkan pun”.
Saya sedar mungkin Dr Maza tidak terlibat dalam menetapkan tajuk dan foto di paparan awal video tersebut, namun rujukan dalam ucapannya kepada “..kononnya kami Islam rahmah..” mengaitkan secara sindiran tuduhannya kepada Parti Amanah Negara atau Amanah yang menggunakan slogan Islam Rahmatan Lil Alamin.
Sepanjang saya meneliti pelbagai pandangan dan kenyataan pimpinan Amanah, bahkan dari kalangan lain-lain pemimpin politik, pemimpin masyarakat dan para akademik berkaitan isu ini, perbahasan yang dikemukakan banyak berkisar tentang persoalan undang-undang berhubung pendaftaran anak-anak itu sebagai seorang muslim.
Tiada walaupun seorang yang berkata “tak apa mereka dimurtadkan” seperti didakwa Dr Maza. Saya harap Dr Maza boleh bantu memberikan bukti terhadap tuduhan berat yang beliau lakukan.
Saya pun hendak tahu siapa yang menyebut “tak apa mereka dimurtadkan”.
Oleh kerana telah ada keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa pertukaran agama secara sebelah pihak bagi anak di bawah umur adalah tidak sah, maka tindakan Majlis Agama Islam Perlis telah dicabar oleh Puan Loh. Beliau melakukan ini demi mendapat hak penjagaan terhadap anak-anaknya.
Tidak adil untuk Dr Maza menganggap mereka yang memberi pandangan tentang kedudukan undang-undang sedia ada dalam kes seperti ini sebagai menyokong anak-anak itu dimurtadkan.
Seterusnya, amat tidak wajar untuk Dr Maza pula terjerumus dalam langkah mengkafirkan rakan seagama kerana beranggapan mereka ini bersekongkol dalam membenarkan anak-anak ini untuk murtad.
Seterusnya beliau menyimpulkan isu ini dengan berkata sesiapa yang bersekongkol dengan kekufuran menentang Islam mereka termasuk di kalangan orang kuffar itu. Sedangkan yang dilakukan adalah menjelaskan kedudukan perundangan berhubung persoalan ini, bukan memihak kepada mana-mana pihak.
Janganlah dalam usaha ingin mempertahankan akidah seorang Islam, kita dengan sewenang-wenangnya mengkafirkan pula saudara Islam kita yang lain tanpa hak. Inilah bahaya sekiranya kita mengheret isu ini di luar konteks dan memainkan sentimen agama.
Di pihak satu lagi muncul pula jaguh yang ingin mengeruhkan lagi suasana. Dengan menuduh anak itu diculik dan dipaksa memeluk agama Islam, P Ramasamy menjadi jaguh pihak satu lagi dan hanya berjaya meningkatkan lagi suhu perbalahan isu ini.
Dakwaan Ramasamy sama ekstrem dengan dakwaan Dr Maza dan masyarakat dinasihati untuk tidak terpengaruh dengan kedua-dua pihak.
Sebaliknya, biarlah mahkamah menjalankan tugasnya tanpa tekanan mahupun ugutan dan seterusnya kepentingan semua pihak dijaga dalam kerangka perundangan dan perlembagaan.
Seharusnya kita berbincang bagaimana untuk menambah nilai peruntukan undang-undang yang ada untuk memberikan keadilan kepada hak anak-anak itu untuk berpegang kepada keyakinan dan kepercayaan mereka dan pada masa sama, jaminan keadilan untuk seorang ibu ke atas anak-anak mereka.
Sebaik-baiknya janganlah diperlihatkan Islam ingin memisahkan seorang ibu dari anak-anaknya. Akan dihasilkan persepsi seolah-olah Islam kejam dan tidak berhati-perut.
Sebaliknya disokong disatukan kembali keluarga yang terpisah itu sambil dizahirkan kasih sayang terhadap semua yang terlibat. Puan Loh pasti perlukan sokongan dan bantuan dan dengan pendekatan Islam Rahmatan Lil Aalamiin dipikat hati semua pihak yang terlibat.
Pendekatan ini dilakukan dalam kerangka perundangan dan perlembagaan dan semestinya lebih menarik berbanding Islam bengis tajaan golongan tertentu.– 24 Februari, 2022.
* Khalid Abd Samad pengarah biro komunikasi Amanah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen