Brek tidak berfungsi, lori langgar 4 kereta di Jenjarom


SEBUAH lori yang dipercayai mengalami masalah brek tidak berfungsi, melanggar empat buah kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jenjarom, Selangor tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, insiden yang turut tular di Facebook itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Katanya, lori itu yang datang dari arah Banting ke Klang mengalami masalah brek lalu mengelak ke kanan dan terlanggar empat buah kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat persimpangan Jenjarom.

“Lori itu berjaya dihentikan selepas persimpangan lampu isyarat menghala ke Kampung Jenjarom.

“Kelima-lima pemandu kenderaan terbabit membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Nur Hayati Mohd Zubel di talian 013-6444350 atau 03-31872222. – Bernama, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen