UNRWA bergelut dapatkan dana untuk Palestin 


UNRWA dalam usaha memperoleh AS$1.6 bilion daripada masyarakat antarabangsa untuk menampung perbelanjaan perkhidmatan terhadap pelarian Palestin.– Gambar EPA, 24 Februari, 2022.

AGENSI Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) kini menempuh fasa sukar bagi membiayai perkhidmatan terhadap pelarian Palestin, lapor Xinhua.

“UNRWA dalam usaha memperoleh AS$1.6 bilion daripada masyarakat antarabangsa untuk menampung perbelanjaan, menyediakan perkhidmatan dan program pembangunan kemanusiaan untuk pelarian Palestin,” pengarah operasi UNRWA di Semenanjung Gaza, Thomas White berkata kepada pemberita di pejabatnya di Gaza pada Rabu.

“Agensi itu telah meminta sejumlah AS$288 juta sebagai bantuan sokongan segera yang akan diperuntukkan untuk program membabitkan sekolah, klinik dan pusat kesihatan,” kata White.

Agensi itu juga berhasrat mendapatkan sejumlah dana bagi kegunaan kecemasan khas sekiranya berlaku bencana alam atau peperangan baharu di Semenanjung Gaza.

UNRWA ditubuhkan di bawah resolusi Perhimpunan Agung PBB pada 1949 dan diberi mandat menyediakan bantuan dan perkhidmatan perlindungan termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, bantuan, perkhidmatan sosial, infrastruktur, penambahbaikan, perlindungan dan kewangan mikro kepada kira-kira 5.6 juta pelarian Palestin. – Bernama, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen