Korban ribut di Brazil lepasi angka 200


Gambar diambil dengan dron menunjukkan anggota bomba berada di sebuah bangunan yang musnah selepas hujan lebat, di Petropolis, Rio de Janeiro, Brazil, pada 15 Februari 2022. – Gambar EPA, 24 Februari, 2022.

ANGKA kematian banjir kilat dan tanah runtuh akibat hujan lebat di bandar Petropolis, Brazil melepasi 200 orang, kata pihak berkuasa pada Rabu, ketika mereka terus menemui mayat lebih seminggu selepas ribut berlaku.

Kira-kira 51 orang masih hilang, tetapi jumlah itu dijangka berkurangan apabila mayat dikenal pasti dan keluarga disatukan semula, kata polis.

Antara 204 mayat yang ditemui, 188 sudah dikenal pasti setakat Rabu, kata polis Rio de Janeiro.

Kira-kira 800 orang ditempatkan di pusat perlindungan kecemasan selepas banjir menyebabkan rumah mereka rosak atau musnah.

Hujan lebat pada 15 Februari menjadikan jalan di bandar pelancongan yang indah di utara Rio de Janeiro menjadi sungai yang deras, menghanyutkan kereta, pokok dan tanah.

Para pegawai masih menjalankan operasi pembersihan besar-besaran untuk membersihkan lumpur, runtuhan dan kenderaan terkandas yang tersadai di sekitar Petropolis, sebuah bandar dengan penduduk berjumlah 300,000 orang.

Ribut yang membawa hujan melebihi jumlah taburan hujan dalam sebulan selama beberapa jam, kini menjadi bencana paling banyak meragut nyawa dalam sejarah bandar itu.

Dalam tiga bulan lalu, kira-kira 250 orang meninggal dunia dalam ribut di Brazil.

Pakar berkata hujan lebat semakin teruk akibat perubahan iklim. – AFP, 24 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen