Lebih ramai mahu Najib jadi PM berbanding Anwar, kata kajian Invoke


Looi Sue-Chern

Kajian Invoke mandapati masih ramai pengundi Melayu yang memilih Najib Razak sebagai perdana menteri akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2017.

PKR mungkin mahukan pemimpin mereka yang sedang dipenjarakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri seterusnya, tetapi kajian dilakukan institusi yang mempunyai kaitan dengan parti itu mendapati Najib Razak masih lagi menjadi pilihan untuk jawatan tertinggi kerajaan itu.

Kajian dilakukan INVOKE Centre for Policy Initiatives (I-CPI) mendapati yang 31% daripada 17,962 pengundi yang memberi maklum balas dalam kajian mereka masih mahukan Najib sebagai perdana menteri selepas pilihan raya berbanding hanya 8.1% mahukan Anwar.

Antara 12,393 (69%) yang tidak memilih Najib sebagai perdana menteri, 50.2% mahukan pemimpin pembangkang dan 49.8% lagi tidak menjawab soalan itu.

Kajian juga mendapati yang populariti Najib antara yang tertinggi dalam kalangan responden Melayu (37%) diikuti India (32%). Hanya 20% pengundi Cina memilih Najib sebagai perdana menteri seterusnya.

Daripada 6,196 yang mahukan pembangkang selaku perdana menteri akan datang, Anwar meraih peratusan tertinggi sebanyak 23.5% diikuti Presiden PAS Abdul Hadi Awang (17.6%) dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad (16.5%).

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berada pada kedudukan seterusnya dengan 12.6% diikuti Naib Presiden PKR Rafizi Ramli (10.7%) dan Mukhriz Mahathir dari Bersatu (8.4%).

Menurut Invoke kajian dilaksanakan sejak 6 Feb hingga 23 Mei dan melibatkan panggilan telefon berkomputer secara rawak kepada 2.8 juta pengundi di seluruh negara.

Responden terdiri daripada 68% Melayu, 15% Cina, 9% India dan 8% bumiputera Sabah dan Sarawak.

Pengundi diminta menjawab dua soalan- samada mereka bersetuju dengan apa yang Najib lakukan dan memilih perdana menteri akan datang selepas pilihan raya daripada senarai 10 orang pemimpin Umno, PKR, Bersatu dan PAS.

10 pemimpin itu ialah Najib, Dr Mahathir, Anwar, Muhyiddin, Mukhriz, Hadi, Menteri Besar Selangor Azmin Ali, Rafizi, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam kalangan pengundi Melayu yang memilih pemimpin pembangkang untuk mengetuai kepimpinan negara, Hadi berada di kedudukan tertinggi dengan 29%, diikuti Dr Mahathir (18%), Muhyiddin (15%) dan Anwar di tempat keempat dengan 14%.

Untuk pengundi Cina, Anwar ialah pilihan kegemaran mereka dengan 35% diikuti Rafizi (19%). Sementara Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah terikat pada kedudukan ketiga dengan 12%.

Pengundi India pula memilih Anwar sebagai calon pilihan dengan 68% diikuiti Muhyiddin (15%) dan Rafizi (7%).  β€“ 24 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen