Jepun ambil langkah baharu jika krisis Ukraine makin buruk


Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengumumkan larangan pengeluaran visa dan pembekuan dana simpanan Donetsk dan Luhansk. – Gambar EPA, 23 Februari, 2022.

JEPUN akan mempertimbangkan langkah baharu untuk diterima pakai sekiranya keadaan di Ukraine kian meruncing, lapor Sputnik.

Perdana Menteri Fumio Kishida berkata demikian pada Rabu, mengulas pengiktirafan Rusia terhadap republik Donetsk (DPR) dan Luhansk (LPR).

Terdahulu, Kishida mengumumkan satu set sekatan termasuk larangan pengeluaran visa dan pembekuan dana simpanan DPR dan LPR, larangan eksport-import dengan republik itu, penempatan dan operasi serta hutang kerajaan di Jepun.

“Keadaan (di Ukraine) masih sukar diramal, ia mungkin berubah-ubah. Oleh itu, jika keadaannya bertambah buruk, bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa, bermula dengan negara G7, kita perlu segera mempertimbangkan pengenalan langkah baharu,” katanya.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Isnin menandatangani dekri mengiktiraf kemerdekaan Donetsk dan Luhansk daripada Ukraine dan akan memastikan keselamatan dua republik itu. – Bernama, 23 Februari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen