KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan tidak menerima sebarang aduan berhubung kekurangan bekalan parasetamol di negeri itu sama ada di pasaran atau menerusi sistem e-aduan.
Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman berkata ia berdasarkan pemeriksaan sejak Januari lalu sehingga hari ini ke atas 213 premis termasuk farmasi, kedai ubat-ubatan dan kedai serbaneka.
“Menerusi pemeriksaan itu, bekalan parasetamol di Negeri Sembilan masih mencukupi dan mudah diperoleh orang awam setakat ini.
“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan ubat-ubatan asas seperti parasetamol mendapat permintaan tinggi di pasaran ketika ini berikutan penularan jangkitan Covid-19 menerusi varian Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Ain Arjuna mengingatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik dan membeli dalam kuantiti yang diperlukan sahaja.
Katanya, pengguna juga tidak seharusnya tertumpu kepada satu jenis jenama sahaja kerana terdapat pelbagai jenama parasetamol di pasaran.
Pihaknya akan meneruskan pemantauan untuk memastikan tiada masalah bekalan dan pengguna juga boleh menyalurkan aduan melalui portal kementerian itu di https://eaduan.kpdnhep.gov.my dan talian WhatsApp 019-2794317. – Bernama, 23 Februari, 2022.
Komen