Indonesia seru keamanan di Indo-Pasifik


Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi tidak mahu persaingan di rantau Indo-Pasifik bertukar menjadi konflik terbuka. – Gambar EPA, 23 Februari, 2022.

PERSAINGAN di Indo-Pasifik tidak dapat dielak malah dialu-alukan, namun semua negara mesti mengelakkan persaingan bertukar menjadi konflik terbuka, kata Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.

Beliau berkongsi pandangan itu pada forum kerjasama menteri sempena mesyuarat Indo-Pasifik di Paris pada Selasa yang bertujuan mengetengahkan inisiatif Kesatuan Eropah untuk rantau berkenaan.

Menurut Retno, rantau itu menyediakan pelbagai peluang buat Indonesia dan terlalu besar untuk dikuasai hanya satu negara.

“Kita mesti menghormati undang-undang antarabangsa. Keamanan, kestabilan dan kebolehramalan mesti kekal sebagai pusat wilayah kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain isu keselamatan, semua negara mesti meneruskan kerjasama konkrit dalam bidang maritim, kemampanan dan peralihan hijau, perdagangan dan pelaburan, ketersambungan dan matlamat pembangunan mampan.

“Ini akan memperdalam perkongsian kita, membina keyakinan dan seterusnya mengurangkan risiko keselamatan,” kata Retno.

Indo-Pasifik didiami 60% penduduk global dan disebabkan kepentingan ekonomi dan geostrategik utama yang dipertaruhkan di rantau itu, banyak negara merancang inisiatif Indo-Pasifik mereka sendiri.

Justeru penting untuk membangunkan paradigma positif dan menggalakkan sinergi lebih berkesan di rantau itu.

“Mari kita ubah daripada persaingan kepada situasi sama menang, berdialog dan kerjasama serta kepercayaan.

“Keselamatan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau Indo-Pasifik hanya boleh dicapai melalui kerjasama strategik,” tulisnya di akaun Twitter rasminya hari ini. – Bernama, 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen