PRESIDEN Rusia Vladimir Putin pada Rabu berkata Moscow bersedia untuk mencari “penyelesaian diplomatik” di tengah-tengah ketegangan dengan Barat berhubung krisis Ukraine, namun menegaskan kepentingan negara itu tidak boleh dirundingkan.
“Negara kita sentiasa terbuka untuk dialog secara langsung dan jujur, untuk mencari penyelesaian diplomatik kepada masalah paling kompleks,” kata Putin dalam ucapan video menandakan Hari Pembela Tanah Air, cuti umum di Rusia.
Namun tambahnya: “Kepentingan Rusia, keselamatan rakyat kita, tidak boleh dirundingkan.”
Putin bercakap selepas dewan tinggi Parlimen, Majlis Persekutuan, pada Selasa memberi kelulusan sebulat suara untuk menempatkan “pemelihara keamanan” ke dua wilayah Ukraine yang memisahkan diri yang kini diiktiraf Moscow sebagai merdeka, dan berpotensi ke bahagian lain di Ukraine.
Dalam ucapan video itu, Putin mengucapkan tahniah kepada rakyatnya, berkata beliau yakin dengan “profesionalisme” tentera Rusia dan mereka akan membela kepentingan negara.
Beliau memuji kesediaan tentera Rusia dalam pertempuran dan berkata negara itu akan terus membangunkan senjata canggih.
“Kita akan terus bangunkan sistem senjata canggih, termasuk hipersonik dan yang berdasarkan prinsip fizikal baharu, dan mengembangkan penggunaan teknologi digital termaju dan unsur kecerdasan buatan,” tambahnya.
“Ia adalah senjata masa depan, yang meningkatkan potensi tempur angkatan tentera kita dengan ketara.”
Pegawai Barat telah memberi amaran sejak berminggu-minggu yang pemimpin Rusia itu telah bersedia menceroboh Ukraine habis-habisan.
Pada Selasa, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan sekatan baharu yang keras terhadap Rusia kerana “memulakan” pencerobohan ke atas Ukraine namun berkata masih ada masa untuk mengelak peperangan. – AFP, 23 Februari, 2022.
Komen