BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mendakwa krisis di Ukraine ketika ini tidak akan berlaku jika AS di bawah pentadbirannya.
Beliau turut berkata langkah Presiden Rusia Vladimir Putin dalam krisis Ukraine sebagai “genius”.
Trump berkata demikian dalam satu bual bicara di mana panel bertanya kepada Trump tentang tindakan Putin mengiktiraf dua wilayah di timur Ukraine sebagai merdeka.
“Ini genius. Putin isytihar sebahagian besar Ukraine sebagai bebas. Oh, itu bagus.”
Rusia berhadapan tindak balas antarabangsa selepas Putin mengarahkan tenteranya masuk ke Ukraine untuk menjaga wilayah Donetsk dan Lugansk yang dikawal pemisah.
Tindakan itu dibuat dengan berpuluh-puluh ribu askar Rusia di sempadan Ukraine dan di tengah-tengah amaran pencerobohan habis-habisan.
Trump berkata taktik Putin “pintar”, berkata AS boleh meniru langkah itu untuk selesaikan isu sempadan dengan Mexico.
Tambahnya dalam stau kenyataan bersaingan, krisis Ukraine boleh dielakkan jika diuruskan dengan cara yang betul oleh Joe Biden.
“Saya kenal sangat Vladimir Putin. Beliau tidak akan buat sebegitu semasa pentadbiran Trump apa yang beliau buat sekarang, tidak mungkin!” kata Trump.
Trump, yang banyak berdiam diri mengenai ancaman Rusia, mengkritik tindak balas “lemah” Washington yang menurutnya tidak sepadan dengan tindakan Rusia.
“Sekarang sudah bermula, harga minyak semakin tinggi dan lebih tinggi, dan Putin bukan sahaja mendapat apa yang beliau sentiasa inginkan, tetapi menjadi lebih kaya dan kaya,” tambah Trump. – AFP, 23 Februari, 2022.
Komen