JEPUN akan mengenakan sekatan ke atas Rusia dan individu berkait wilayah timur Ukraine yang dikawal pemisah pro-Kremlin, kata perdana menterinya pada Rabu, selepas Moscow mengarahkan tentera masuk ke wilayah yang dipertikaikan.
Langkah itu susulan keputusan Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kesatuan Eropah (EU) untuk menghukum Rusia susulan keputusan Presiden Vladimir Putin menghantar masuk tenteranya ke Donetsk dan Lugansk.
Sekatan Tokyo termasuk larangan mengeluarkan visa kepada individu yang dikaitkan dengan “dua republik” serta membekukan aset mereka dan menyekat perdagangan dengan wilayah itu.
Mereka juga mengharamkan pengeluaran dan perdagangan bon kerajaan Rusia di Jepun.
“Kami terus memantau dengan penuh kebimbangan,” kata Perdana Menteri Fumio Kishida kepada pemberita.
“Dari sudut menjawab isu itu dengan kerjasama masyarakat antarabangsa, Jepun memutuskan untuk mengenakan sekatan,” katanya.
Jepun “mengutuk sekeras-kerasnya” tindakan Rusia, tambahnya, “yang melanggar kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine, melanggar undang-undang antarabangsa,” sambil menambah sekatan lanjut mungkin dibuat “jika keadaan bertambah buruk.” – AFP, 23 Februari, 2022.
Komen