Leissner akui guna wang 1MDB beli rumah di London untuk kekasih


BEKAS pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner ketika memberi keterangan di mahkamah di New York semalam mengakui menggunakan wang diterima daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk membeli sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) untuk kekasihnya pada masa itu, Rohana Rozhan, lapor Bloomberg.

Rohana pada masa itu ialah ketua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd.

Leissner, antara saksi utama dalam perbicaraan membabitkan bekas pegawai bank Roger Ng, dilaporkan berkata Rohana mengugut untuk mendedahkan pembabitannya dengan 1MDB.

“Rohana sangat marah apabila saya mahu memutuskan hubungan kami untuk bersama bakal isteri saya ketika itu, Kimora.

“Jika saya tidak belikan dia rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang pembabitan saya dalam skandal 1MDB. Dia ugut saya. Pada masa itu, 2013 saya sangat takut,” kata Leissner.

Ng, 49, didakwa berkonspirasi dengan Leissner dan ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho untuk melakukan pengubahan wang haram terhadap dana diselewengkan daripada 1MDB, dan menyalahi undang-undang anti rasuah AS. Beliau saja bekas pegawai bank Goldman yang akan dibicarakan dalam skandal itu.

Bloomberg melaporkan Leissner menjalinkan hubungan dengan Rohana dari 2003 hingga 2013 dan kemudian berkahwin dengan bintang televisyen AS Kimora Lee Simmons pada 2013.

Leissner, 52, turut memberitahu mahkamah beliau ada memberitahu pegawai atasannya di Goldman pada masa itu, Richard Gnodde tentang Rohana.

Gnodde dikatakan meminta Leissner supaya berhati-hati kerana bank itu masih berurusan dengan Astro.

Rohana meletak jawatan di Astro pada 2019. – 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen