PRESIDEN Ecuador Guillermo Lasso berkata kira-kira 5,000 banduan akan diberi pengampunan bagi mengurangkan masalah penjara yang penuh di negara itu.
Kesesakan di dalam penjara sering mencetuskan rusuhan, dengan insiden pada tahun lalu menyebabkan lebih 320 banduan maut.
“Saya harap sekurang-kurangnya 5,000 banduan akan dibebaskan,” katanya kepada media.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk menyelesaikan masalah kesesakan di dalam penjara dalam tempoh hujung tahun ini bagi mewujudkan persekitaran lebih baik untuk keselamatan dan pemulihan sosial banduan.
Sebanyak 65 penjara di Ecuador menetapkan kapasiti 30,000 banduan tetapi pada masa ini ia menempatkan 39,000 iaitu kira-kira 30% lebihan.
Kira-kira 15,000 banduan masih belum dijatuhkan hukuman.
Lebih 320 banduan terbunuh pada 2021 akibat keganasan dan rusuhan, berpunca daripada pergaduhan kumpulan dadah di Ecuador.
Ecuador terletak di antara dua pengeluar kokain terbesar dunia iaitu Colombia dan Peru.
Lasso semalam menandatangani warta untuk mewujudkan syarat dan sistem pengampunan.
Ia akan memberi fokus kepada banduan yang disabitkan bersalah bagi kesalahan mencuri, menipu atau pecah amanah, lapor media. – AFP, 23 Februari, 2022.
Komen