SEBUAH jet pejuang F-5 Iran terhempas ke kawasan sekolah di barat laut bandar Tabriz pada Isnin, mengorbankan dua kru dan seorang pejalan kaki, kata pihak berkuasa.
“Nasib baik sekolah itu ditutup kerana wabak Covid-19,” kata pegawai tempatan Mohammad-Bagher Honarvar kepada televisyen negara.
Pesawat itu dalam misi latihan apabila ia jatuh sekitar 9 pagi (0530 GMT) di daerah tengah bandar Monajem, kata Honavar, yang mengetuai unit pengurusan krisis di wilayah Azerbaijan Timur.
Ketua pertubuhan Bulan Sabit Merah tempatan berkata, pesawat terhempas di bahagian dinding luar bangunan, dan seorang daripada yang maut adalah penduduk berhampiran.
Kebakaran berlaku di lokasi nahas dan anggota bomba dilihat memadamkan api ketika orang ramai melihat, dalam rakaman video oleh agensi berita rasmi IRNA.
Serpihan pesawat perang yang hangus dapat dilihat di tengah runtuhan bangunan sekolah.
Pesawat itu ditempatkan di pangkalan udara Shahid Fakouri di Tabriz, kata komander pangkalan Jeneral Reza Youssefi kepada penyiar, sambil menambah ia dalam perjalanan pulang dari misi latihan apabila menghadapi masalah teknikal yang menghalangnya daripada mendarat.
Nahas jet pejuang Isnin lalu adalah kemalangan pertama membabitkan pesawat tentera yang dilaporkan Iran sejak Disember 2019.
Ketika itu, sebuah pesawat pejuang MiG-29 terhempas berhampiran gunung berapi tidak aktif di barat laut negara itu semasa penerbangan ujian, menurut media rasmi.
Tiga hari kemudian pihak tentera mengesahkan kematian juruterbang itu.
Pada Januari 2019, sebuah pesawat kargo tentera melepasi landasan, terhempas dan terbakar semasa pendaratan yang gagal berhampiran ibu negara Tehran.
Sebanyak 15 orang terbunuh dalam kemalangan itu.
Sebuah jet tempur turut terhempas di Tabriz semasa latihan ketenteraan pada September 2011, lapor media tempatan.
Iran dikenakan sekatan AS sejak 2018 apabila AS menarik diri daripada perjanjian nuklear penting yang dicapai tiga tahun sebelumnya dengan Tehran dan kuasa dunia.
Rundingan sedang dijalankan di Vienna untuk memulihkan perjanjian itu dan Iran menggesa agar sekatan ditarik balik. – AFP, 23 Februari, 2022.
Komen