Ceroboh Ukraine, Biden umum sekatan pertama terhadap Russia


Presiden AS Joe Biden umum sekatan pertama terhadap dua bank Russia dan individu elit di negara itu selepas Moscow dilihat memulakan langkah pencerobohan terhadap Ukraine. – Gambar AFP, 23 Februari, 2022.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan sekatan pertama terhadap dua bank Russia dan individu elit di negara itu selepas Moscow dilihat memulakan langkah pencerobohan terhadap Ukraine.

“Ini adalah permulaan pencerobohan Russia terhadap Ukraine,” kata Biden dalam satu ucapan di White House yang disiarkan di stesen televisyen.

Beliau juga memberi amaran tindakan lebih tegas bakal diambil jika Russia meneruskan langkah agresifnya.

Biden berkata tindakan itu disasarkan kepada bank pembangunan Russia, VEB serta golongan elit negara berkenaan.

“Mereka berkongsi hasil rasuah daripada dasar dilaksanakan Kremlin dan harus turut sama menderita,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan sekatan selaras dengan usaha Barat bagi menekan Presiden Russia Vladimir Putin.

Pegawai kanan pentadbiran AS berkata walaupun tindakan menyekat pembiayaan baharu untuk Moscow dilihat langkah luar biasa dan tegas, tindak balas Washington tidak terlalu keras berbanding EU.

Bagaimanapun katanya, semua opsyen masih terbuka termasuk menyasarkan Putin secara khusus bagi memastikan kesannya cukup ketara.

“Sekatan penuh terhadap VEB dan PSB, yang juga pembiaya utama tentera selain anak syarikat berkaitan bermakna semua aset luar negara Russia akan dibekukan serta disekat daripada menggunakan sistem perbankan AS.

“Washington difahamkan turut menyasarkan lima individu dan keluarga mereka di Russia untuk dikenakan sekatan sama,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dalam satu kenyataan berkata pihaknya akan terus memantau tindakan Russia.

“Jika ia menyerang Ukraine, AS dengan pantas mengenakan sekatan ekonomi meluas yang akan memberi kesan teruk dan berkekalan kepada ekonomi Russia,” katanya. – AFP, 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen