Sri Lanka selesai hantar pulang sisi buangan ke Britain


Pekerja pelabuhan memantau lot terakhir kontena yang membawa bahan buangan untuk dipulangkan kepada syarikat United Kingdom, dari pelabuhan di Colombo, Sri Lanka pada Isnin. – Gambar EPA, 23 Februari, 2022.

SRI LANKA pada Isnin menghantar ke Britain baki beberapa ratus kontena mengandungi ribuan tan buangan yang diimport secara haram, kata pegawai.

Beberapa negara Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menolak sisa buangan dari negara lebih kaya dan mula menghantar pulang penghantaran tidak diingini.

Sisa buangan dari Britain tiba di Sri Lanka antara 2017 hingga 2019 dan disenaraikan sebagai “tilam, permaidani dan ambal terpakai”.

Tetapi pada hakikatnya ia turut mengandungi sisa bio dari hospital termasuk anggota badan dari bilik mayat, menurut pegawai kastam.

Kontena tidak sejuk dan sebahagiannya mengeluarkan bau busuk yang kuat.

Sebanyak 45 kontena yang dimuatkan ke sebuah kapal di pelabuhan Colombo pada Isnin adalah kumpulan terakhir 263 kontena yang memuatkan kira-kira 3,000 tan sisa buangan.

“Mungkin terdapat percubaan baru untuk mengimport kargo berbahaya seperti itu, tetapi kami akan berjaga-jaga dan memastikan perkara ini tidak berulang,” kata ketua kastam Vijitha Ravipriya.

Sebanyak 21 kontena pertama yang menyimpan sisa perubatan dikembalikan ke Britain pada September 2020, menurut kastam.

Sebuah syarikat tempatan mengimport sisa itu dari Britain, berkata ia merancang untuk mendapatkan semula spring daripada tilam terpakai serta kapas untuk dihantar semula kepada pengilang di luar negara.

Tetapi kastam gagal menemui bukti yang boleh dipercayai tentang “pengambilan sumber” sedemikian.

Kumpulan aktivis alam sekitar tempatan memfailkan petisyen menuntut sisa buangan itu dikembalikan kepada penghantarnya dan Mahkamah Rayuan Sri Lanka mengekalkan petisyen itu pada 2020.

Kastam menegaskan semua kontena dibawa masuk ke negara ini melanggar undang-undang antarabangsa yang mengawal penghantaran sisa berbahaya, termasuk plastik.

Siasatan Sri Lanka pada 2019 mendapati pengimport menghantar semula kira-kira 180 tan sisa buangan yang dibawa masuk ke pulau itu ke India dan Dubai pada 2017 dan 2018.

Filipina, Indonesia dan Malaysia juga memulangkan ratusan kontena bahan buangan ke negara asal mereka. – AFP, 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen