JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan melakukan siasatan secara menyeluruh dan terperinci berhubung kematian bayi lelaki berusia dua bulan pada Jumaat lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya amat prihatin dengan insiden itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Pihak pengurusan hospital melakukan siasatan awal dan mendapati pesakit dimasukkan ke HRPZ II pada 5 Februari lalu akibat cirit-birit yang melampau selama beberapa hari sehingga mengakibatkan pelbagai komplikasi.
“JKNK memandang serius insiden ini dan akan melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap semua pihak yang terbabit,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, pihak HRPZ II dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa yang mendakwa berlaku kecuaian ketika mendapatkan rawatan di hospital sehingga menyebabkan kematian bayi itu.
Pengarah HRPZ II Dr Selasawati Ghazali berkata, pihaknya melakukan siasatan membabitkan pakar perubatan, doktor dan jururawat yang bertanggungjawab merawat bayi itu berikutan tular video di Facebook milik ‘Ola Ola’ yang mendakwa anaknya meninggal dunia akibat kecuaian doktor di hospital berkenaan ketika memberikan rawatan.
Menerusi video yang meraih tontonan melebihi 60,000 itu juga, Ola Ola mendakwa anaknya dipaksa berpuasa selama lima hari selain diberikan susu tamat tempoh dan ubat tidur tanpa keizinan beliau. – Bernama, 22 Februari, 2022.
Komen