SEMBILAN individu termasuk tujuh warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan dalam talian (Calling Center) di Jalan U-thant, di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata yang ditahan di sebuah kondominium mewah itu terdiri daripada dua lelaki tempatan, lima lelaki dan dua wanita warga China berusia lingkungan 22 hingga 42 tahun.
Beliau berkata dalam serbuan pada 4.30 petang itu, polis merampas satu set komputer; 15 unit telefon pelbagai jenama; satu unit router; dan satu modem yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan pelaburan, yang menyasarkan pelanggan dari luar negara.
“(Ketika serbuan) mereka belum beroperasi sepenuhnya lagi (dan mereka) sedang ‘set up’ teknikal, pekerja dan peralatan. Mangsa belum ada, akan tetapi berdasarkan telefon yang dirampas, pelaburan ini menyasarkan mangsa di luar negara.
“Kesemuanya tidak ada rekod jenayah manakala warga asing yang ditahan tidak mempunyai apa-apa dokumen semasa tangkapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesemua mereka direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.
Mohd Mahidisham seterusnya menasihatkan orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan agar menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, CCID Scam Response Center di talian 03-2610 1559/1599 atau balai polis yang berdekatan. – Bernama, 22 Februari, 2022.
Komen