Buka sempadan untuk rangsang pemulihan ekonomi, gesa pengeluar


Raevathi Supramaniam

Melonggarkan sekatan di sempadan akan memudahkan pergerakan modal insan untuk bekerja dan perdagangan, kata persekutuan pengeluar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Februari, 2022.

PUTRAJAYA patut membuka semula sempadan kepada pengembara antarabangsa yang menerima vaksin sepenuhnya seawal 1 Mac kerana ia akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) hari ini.

Presiden FMM Soh Thian Lai merujuk kepada cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya sempadan boleh dibuka seawal 1 Mac.

Soh berkata, walaupun masa mungkin tidak sesuai disebabkan gelombang Omicron, ia perlu bagi memulihkan ekonomi.

“Pembukaan semula sempadan antarabangsa di persimpangan ketika ini, walaupun boleh difahami mungkin tidak sesuai memandangkan gelombang varian Omicron semasa yang dialami negara dengan bilangan kes yang meningkat setiap hari, bagaimanapun perlu dan kritikal untuk menyokong pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembukaan semula itu juga mesti dilakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tepat, katanya.

Bukan sahaja membuka semula sempadan merangsang ekonomi, ia juga akan membolehkan pergerakan barangan dan orang ramai.

“Melonggarkan sekatan di sempadan akan memudahkan pergerakan modal insan untuk bekerja dan perdagangan yang akan memberi impak positif kepada pemulihan industri serta membantu menangani pengangguran akibat pandemik Covid-19.

“Terutama bagi sektor pembuatan, banyak syarikat yang sedang dalam proses pemulihan perniagaan sedang menimbang untuk meningkatkan kapasiti, peluang perniagaan baharu, kepelbagaian perniagaan dan produk serta meneroka pasaran baharu.

“Selain itu, terdapat juga syarikat yang menggunakan mesin dan peralatan baharu sebagai sebahagian daripada perniagaan dan kepelbagaian produk mereka, menggunakan projek R&D baharu dan mentauliahkan penggunaan teknologi daripada vendor luar negara, semuanya sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan perniagaan mereka,” kata Soh.

Soh turut merujuk kepada negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Australia yang kini membenarkan perjalanan bebas kuarantin ke negara masing-masing.

“Tiada satu pun daripada negara ini terlepas daripada gelombang Omicron dan ada yang lebih teruk terjejas memandangkan kadar vaksinasi mereka lebih rendah berbanding Malaysia.”

Sekiranya sempadan tidak dapat dibuka tidak lama lagi, Soh mencadangkan lebih banyak laluan perjalanan vaksinasi (VTL) seperti antara Malaysia dan Singapura dibuka.

Kerajaan kini sedang mempertimbangkan VTL antara Sabah dan Brunei.

Awal hari ini, Pengerusi MPN Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengumumkan tarikh pembukaan semula sempadan tidak lama lagi.

SOP dan garis panduan untuk pembukaan semula juga kini di peringkat akhir, katanya. – 22 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen