POLIS Australia berjaya menahan seorang yang disyaki pembunuh upahan mafia selepas pemburuan selama 12 tahun di seluruh negara berkenaan.
Suspek menggunakan penyamaran dan juga pakaian gemuk untuk mengelak ditangkap selepas melanggar ikat jamin.
Pemburuan suspek berakhir pada Isnin apabila polis menemui Graham Potter bersembunyi di sebuah rumah terbiar di bandar kecil Ravenshoe, Queensland selepas mendapat maklumat daripada orang ramai.
Pada tahun 2010, Potter melarikan diri sebelum tarikh perbicaraan mahkamahnya, ketika berdepan pertuduhan serius termasuk dakwaan terlibat dalam rancangan pembunuhan di sebuah majlis perkahwinan.
Potter tersenarai sebagai salah satu daripada 10 penjenayah paling dikehendaki negara itu, dengan ganjaran Aus$100,000 (AS$72,000) ditawarkan untuk maklumat yang membawa kepada penangkapannya.
Pihak berkuasa mengesyaki Potter akan mencari kerja sebagai penjaga ladang di kawasan pedalaman, dan dikatakan mempunyai kemahiran kimpalan, penternakan lebah, hidroponik, akuaponik, pencarian emas dan kemahiran memindahkan tanah.”
Potter pernah menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana membunuh seorang pembantu kedai berusia 19 tahun pada 1981.
Pegawai kanan polis Victoria, Mick Frewen Selasa memuji penangkapan Potter, menyifatkan penjenayah itu sebagai seorang yang ganas dan pelarian yang berprofil tinggi. – AFP, 22 Februari, 2022.
Komen