16 cedera dron  Houthi sasar lapangan terbang Arab Saudi


Houthi mengaku bertanggungjawab atas serangan dron dan peluru berpandu sarat bahan letupan terhadap UAE dan Arab Saudi. – AFP, 22 Februari, 2022.

SERAMAI 16 cedera termasuk warga asing di Arab Saudi apabila ia memusnahkan sebuah dron yang disasarkan ke atas lapangan terbang oleh pemberontak Yaman, kata pakatan yang diketuai Arab Saudi semalam.

Ia adalah serangan lapangan terbang kedua dalam tempoh kurang dua minggu yang didakwa dilakukan pemberontak  Houthi yang disokong Iran.

Pemberontak kerap melancarkan serangan terhadap Arab Saudi yang sudah tujuh tahun mengetuai pakatan tentera menyokong kerajaan Yaman dalam menghadapi kemaraan  Houthi.

“Sebuah dron yang dilancarkan ke arah Lapangan Terbang Raja Abdullah di Jazan musnah, dengan serpihan jatuh di dalam lapangan terbang,” kata pakatan itu, seperti yang dilaporkan oleh Press Agency, media rasmi Arab Saudi.

“Seramai 16 orang awam dari pelbagai negara cedera,” katanya dan menuduh  Houthi “sekali lagi melancarkan serangan rentas sempadan dari lapangan terbang Sanaa”.

Lapangan terbang Sanaa, dikuasai Houthi, mengaku bertanggungjawab bagi serangan yang berlaku pada 10 Februari, juga di barat daya Arab Saudi berhampiran Yaman.

Pegawai Arab Saudi berkata 12 orang cedera dalam kejadian itu akibat serpihan yang terjatuh apabila tentera Arab Saudi meletupkan dron pemberontak Yaman yang “sarat bom” yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha.

Sebagai tindak balas, gabungan itu pada 14 Februari berkata ia memusnahkan sistem komunikasi digunakan untuk serangan dron yang terletak berhampiran kementerian telekomunikasi di Sanaa.

Pada Disember, gabungan itu berkata Houthi melancarkan lebih 850 dron dan 400 peluru berpandu balistik ke Arab Saudi sejak tujuh tahun lalu, membunuh seramai 59 orang awam.

Angka itu sedikit berbanding 401 serbuan udara gabungan yang dilakukan pada Januari sahaja di Yaman, menurut Projek Data Yaman, yang melaporkan kira-kira 9,000 orang awam maut akibat serangan di negara itu sejak 2015.

Kumpulan hak asasi manusia sekian lama mengkritik pakatan yang menyebabkan korban awam dalam pengeboman udaranya.

Serangan dron Houthi terbaharu berlaku ketika Emiriah Arab Bersatu (UAE), ahli gabungan lain, menganjurkan persidangan pertahanan dengan fokus mengenai dron. 

UAE dan sekutunya memberi amaran pada persidangan itu pada Ahad mengenai ancaman serangan dron yang semakin meningkat, ketika militan Timur Tengah mula menerima kelebihan sistem tanpa pemandu yang murah dan mudah diakses.

Yaman adalah krisis kemanusiaan terburuk di dunia, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang berulang kali memberi amaran bahawa agensi bantuan kehabisan dana.

PBB menganggarkan perang itu membunuh 377,000 orang menjelang akhir 2021, secara langsung dan tidak langsung akibat kelaparan dan penyakit. – AFP, 22 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen