MIC desak tindakan terhadap pendakwah hina agama lain


Ravin Palanisamy

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata sudah membawa isu mengenai pendakwah Islam yang mengeluarkan kata-kata menyinggung agama lain kepada KDN untuk tindakan segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2022.

MIC mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak terhadap pendakwah Islam yang terus mengeluarkan kata-kata menghasut terhadap agama lain di negara ini, kata timbalan presiden parti M Saravanan.

Saravanan, satu-satunya menteri berbangsa India dalam Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau sudah membawa isu itu kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin untuk tindakan segera.

Beliau menambah kementerian mengumpul butiran mengenai pendakwah terbabit.

“Ada satu dua yang kerap mengeluarkan kenyataan tidak sensitif sebegitu.

“Malah ini bukan perkara baru. Saya sudah bercakap dengan menteri dalam negeri dan dalam kebanyakan kes, bukan mudah untuk mendakwa mereka atas pelbagai alasan.

“Apa pun, KDN sedang mengumpulkan semua butiran mengenai mereka,” kata Saravanan, yang merupakan menteri sumber manusia, memberitahu The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak akan membangkitkan isu itu dalam Kabinet buat masa ini.

“Ia agak terlalu awal (untuk dibawa ke Kabinet).

“Setakat ini dan melainkan saya tidak berpuas hati dengan KDN, maka mungkin saya akan membawanya ke Kabinet.

“Setakat ini, saya rasa KDN amat memberi sokongan,” kata ahli Parlimen Tapah itu.

Beberapa bulan kebelakangan ini, pertubuhan Hindu membuat banyak laporan polis terhadap pendakwah Islam kerana kenyataan menyinggung agama mereka.

Beberapa pendakwah yang mempunyai laporan polis terhadap mereka termasuk Firdaus Wong Wai Hung, Zamri Vinoth Kalimithu, Ahmad Iqram Mohd Noor dan Ridhuan Tee Abdullah.

Terdapat juga pendakwah lain seperti Syakir Nasoha, Idris Sulaiman dan Abdul Halim Abdullah yang menghina agama lain.

Seorang daripada mereka, Syakir, menuduh penganut Buddha, Hindu dan Dayak membunuh orang Islam.

Kira-kira 3,000 laporan dibuat di seluruh negara terhadap Syakir selepas video yang menunjukkan beliau membuat komen terhadap agama lain dan masyarakat Dayak menjadi tular.

Dalam klip satu minit itu, pendakwah itu kedengaran berkata “pada akhir zaman, pengikut agama bukan Islam akan berebut-rebut untuk membunuh umat Islam di dunia”.

Beliau juga mendakwa pembunuhan orang Islam di India dan Thailand dilakukan oleh penganut Hindu dan Buddha.

Beliau juga membuat kenyataan yang sama terhadap masyarakat Dayak, mendakwa mereka membunuh dan merogol orang Islam di Indonesia dan Papua New Guinea.

Dalam kes Idris, beliau mencetuskan ketegangan dengan memberitahu umat Islam mereka dilarang membersihkan rumah ibadat lain, walaupun semasa usaha bantuan banjir.

Idris menyamakan tindakan membersihkan rumah ibadat lain seperti membersihkan sarang judi dan disko, sambil menambah kuil adalah rumah syaitan.

Pendakwah Islam bebas Abdul Halim juga membuat komen yang meremehkan semasa banjir baru-baru ini, mengatakan “kuil lebih teruk daripada rumah pelacuran”.

Komen itu dibuat selepas sekumpulan mahasiswa Universiti Islam Malaysia di Gombak (UIAM) pelbagai kaum membantu membersihkan sebuah kuil Hindu di Taman Klang Utama yang terjejas akibat banjir.

Saravanan, seorang penganut Hindu yang taat, berkata beliau mengecam perbuatan sebegitu oleh pendakwah Islam.

Beliau berkata hanya sebilangan kecil individu tidak bertanggungjawab terlibat dalam kegiatan tersebut. – 23 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen