POLIS anti rusuhan bertembung dengan penunjuk perasaan anti vaksin di luar bangunan Parlimen New Zealand awal pagi ini, dengan seorang penunjuk perasaan gagal dalam cubaannya untuk merempuh kereta dipandunya ke arah sekumpulan anggota polis.
Ketegangan makin teruk sehari selepas polis melaporkan penunjuk perasaan bertindak selekeh membaling najis ke arah mereka ketika memasang sekatan di sekeliling khemah protes yang menyekat kawasan Parlimen dan jalan di sekitarnya sejak dua minggu lalu.
Polis berkata sekumpulan besar penunjuk perasaan cuba mengganggu tugas penguasa yang memindahkan pengadang lebih hampir kepada kawasan khemah.
“Sekurang-kurangnya tiga anggota polis memerlukan rawatan selepas disembur dengan bahan tidak diketahui oleh penunjuk perasaan.
“Seorang penunjuk perasaan ditahan selepas cuba merempuh kenderaan dipandunya ke arah sekumpulan anggota,” kata polis.
Pihak berkuasa cuba pelbagai cara untuk menggesa penunjuk perasaan bersurai secara sukarela.
Tetapi Timbalan Pesuruhjaya Richard Chambers berkata insiden terbaru ini menunjukkan tingkah laku penunjuk perasaan sudah tidak boleh lagi dikawal di kawasan Parlimen.
Protes Wellington bermula sebagai gerakan anti mandat vaksin, tetapi berkembang menjadi anti kerajaan dan anti media.
Penduduk Wellington mengadu diganggu dan dibuli oleh penunjuk perasaan kerana memakai topeng pelitup muka, dengan Perdana Menteri Jacinda Ardern mengutuk perbuatan itu. – AFP, 22 Februari, 2022.
Komen