Hadi dakwa Nik Aziz tak senang dengan sikap DAP


Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa tindakan DAP yang semakin giat membangkitkan retorik kaum dan agama menjadi kebimbangan allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2018.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang mendakwa allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyatakan rasa tidak senang ke atas tindakan DAP yang didakwanya membangkitkan retorik kaum dan agama.

Hadi berkata, beliau membincangkan perkara itu beberapa kali dengan bekas mursyidul am PAS itu.

“Sebelum Tuan Guru Nik Aziz meninggal, beliau sudah menghidu sikap DAP dan banyak kali berbincang dengan saya yang tidak diketahui oleh orang ramai.

“Bahkan sikapnya konsisten bahawa DAP dan Pakatan Rakyat ketika itu jangan melanggari sempadan sehingga mengacau prinsip perjuangan parti masing-masing.

“Sebenarnya Tuan Guru Nik Aziz sendiri sudah menyatakan tidak senang dengan sikap DAP dan Pakatan Rakyat yang makin terbuka menunjukkan perkara yang negatif terhadap hubungan agama dan kaum,” kata Abdul Hadi.

Beliau berkata demikian dalam satau wawancara dengan China Press. Transkrip wawancara tersebut disiarkan di laman rasmi parti PAS hari ini.

Kenyataan itu berbeza sama sekali dengan kata-kata beliau ketika PAS dan DAP masih bekerjasama dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

Antara tokoh utama yang menguatkan gabungan Pakatan Rakyat itu ialah Nik Abdul Aziz, bersama Karpal Singh yang memimpin DAP dan Anwar Ibrahim yang mengetuai PKR.

Nik Aziz meninggal dunia pada 2015, setahun selepas kematian Karpal Singh.

Pada tahun itu juga, gabungan Pakatan Rakyat terurai dan pemimpin PAS yang mesra dengan DAP disingkirkan dari parti dan membentuk parti baharu, Amanah.

Dalam rentetan peristiwa tersebut, Hadi berkata DAP terlebih dahulu mengambil peluang untuk berkempen bagi menundukkan PAS.

“Selepas ketiadaan Tuan Guru, DAP semakin lantang dan mendapat sokongan bekas pimpinan PAS yang ketika berada dalam PAS sudah buat kacau dan menjadi broker kepada rakan Pakatan untuk memaksa PAS menurut cakap mereka.

“Tapi PAS ada prinsip dan PAS masih kekal hingga hari ini kerana Islam yang menjadi dasarnya, di samping bersikap terbuka dan fleksibel dari sudut pendekataan,” kata Hadi seperti dipetik dalam laporan China Press hari ini.

Amanah kini membentuk kerjasama dengan DAP, PKR dan Bersatu, sebuah parti serpihan Umno diketuai pemimpin yang kritikal terhadap Perdana Menteri Najib Razak.

Tokoh utama dalam Bersatu adalah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga mempengerusikan gabungan Pakatan Harapan (PH).

Namun bagi Hadi, DAP adalah pemimpin sebenar dalam PH. Malah parti itu juga mendalangi tindak tanduk Dr Mahathir, kata Hadi lagi dalam wawancara itu.

Abdul Hadi mendakwa DAP cuba menghapuskan PAS apabila parti pimpinan Lim Kit Siang itu semakin berpengaruh dalam pilihan raya umum 2013.

“Kita dapat menghidu sejak dari awal khususnya selepas DAP menang banyak kerusi, ketika itu DAP bersikap lantang dan tidak menghormati hak orang Islam dan seringkali memainkan isu perkauman untuk menimbulkan ketegangan kaum,” kata Hadi.

Abdul Hadi juga mendakwa, DAP merupakan parti sebenar yang berkuasa di sebalik Pakatan Harapan dan kini menyerang PAS apabila tidak berjaya menundukkan parti Islam itu.

“Mereka serang kerana mereka gagal tundukkan PAS. Hanya PAS yang tidak terpengaruh dengan perangkap Tun Mahathir (Mohamad) dan DAP yang mahu menghapuskan PAS di persada politik,” katanya.

PAS yang kini mesra dengan Umno, berhasrat untuk meletakkan calon di 130 kawasan Parlimen dan yakin akan menang di 40 kerusi.

Bagi PAS, langkah ini akan menjadikan parti itu sebagai penentu bagi mana-mana parti yang mahu menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – 8 Februari, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen