Peter Anthony umum penubuhan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat


Peter Anthony hari ini mengumumkan penubuhan parti baharu iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), berkata langkah pertama ialah membuat permohonan untuk bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah yang kini menerajui kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Februari, 2022.

BEKAS Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Peter Anthony hari ini mengumumkan penubuhan parti baharu iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang pendaftarannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 18 Februari lepas.

Beliau mengumumkan perkara itu sejurus tiba di Lapangan Terbang  Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur. 

“Mesyuarat pertama akan diadakan pada 13 Mac depan sekali gus melantik ahli jawatankuasa parti,” katanya kepada pemberita.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Limbahau Juil Nuatim yang juga Timbalan Presiden KDM.

Peter berkata langkah pertama parti itu ialah membuat permohonan untuk bergabung dengan Gabungan Rakyat Sabah yang kini menerajui kerajaan negeri.

“Sebagai parti kerdil, kita perlu bekerjasama dalam memajukan Sabah… sudah tiba masanya parti politik di Sabah bergabung agar kerajaan kita kuat seperti yang berlaku di Sarawak,” katanya.

Peter dan Juil keluar Warisan pada 27 Disember tahun lepas kerana percaya perjuangan parti itu sudah tersasar dari landasan asal. – Bernama, 21 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen